Kerajaan akan dapat sokongan ramai jika henti guna istilah ‘kuil haram’ – MAHIMA

Kerajaan akan dapat sokongan ramai jika henti guna istilah ‘kuil haram’ – MAHIMA

Kerajaan disaran menghentikan penggunaan istilah ‘kuil haram’ dalam semua urusan rasmi susulan permohonan maaf Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung penggunaan istilah tersebut sebelum ini.

Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N. Sivakumar berkata, tindakan itu mampu meningkatkan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap kerajaan, selain mencerminkan kesungguhan pentadbiran dalam menghormati sensitiviti agama serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan mendapat sokongan orang ramai jika kerajaan turut mengambil langkah menghentikan penggunaan istilah ‘kuil haram’.
“Tindakan itu akan menunjukkan kepimpinan beliau dalam menjaga sensitiviti agama dan keharmonian rakyat. Mahima menghargai sikap Perdana Menteri yang berjiwa besar dan rendah diri apabila mengakui kesilapan serta memohon maaf secara terbuka.
“Permohonan maaf itu sememangnya menyentuh hati masyarakat India, khususnya penganut agama Hindu,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

Sivakumar berkata, masyarakat India menerima permohonan maaf tersebut dengan hati yang terbuka namun berpandangan kerajaan perlu mengambil langkah susulan yang lebih jelas bagi mengelakkan perkara sama berulang pada masa akan datang.

Menurut beliau, penggunaan istilah yang boleh menyentuh sensitiviti agama wajar dielakkan, terutama apabila melibatkan rumah ibadat yang mempunyai kedudukan suci di sisi penganutnya.

“Atas sebab itu, kerajaan disaran mengeluarkan arahan yang jelas supaya istilah ‘kuil haram’ tidak lagi digunakan dalam ucapan, kenyataan atau dokumen rasmi oleh mana-mana pemimpin, kementerian, agensi kerajaan mahupun pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, cadangan itu bukan bertujuan mengenepikan aspek perundangan atau mempertikaikan status tanah sesebuah rumah ibadat, sebaliknya bagi memastikan bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi lebih berhemah serta menghormati kepercayaan semua pihak.

Katanya, sebarang isu berkaitan status rumah ibadat masih boleh diselesaikan mengikut saluran undang-undang tanpa perlu menggunakan istilah yang berpotensi menyinggung perasaan penganut agama.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memperluaskan libat urus dengan pertubuhan agama dan wakil pelbagai kepercayaan dalam menangani isu berkaitan rumah ibadat agar setiap keputusan dapat dibuat secara lebih inklusif dan saling menghormati.

“Kami percaya permohonan maaf Perdana Menteri merupakan satu langkah yang baik. Kini, langkah itu akan menjadi lebih bermakna sekiranya disusuli tindakan kerajaan menghentikan penggunaan istilah ‘kuil haram’ demi memelihara keharmonian negara,” katanya lagi.

Sumber: Malaysia Gazette (Kasthuri Jeevendran)

Scroll to Top