Tikam bayi: Pelajar akan didakwa esok, teman lelaki jadi saksi pendakwaan

Tikam bayi: Pelajar akan didakwa esok, teman lelaki jadi saksi pendakwaan

am@hmetro.com.my

Kluang: Seorang pelajar perempuan akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, esok atas pertuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya di sebuah rumah di Taman Setia Mutiara, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, keputusan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.

Menurutnya, teman lelaki suspek berusia 19 tahun pula dibebaskan dan akan bertindak sebagai saksi pendakwaan kelak.

“Polis sudah merujuk kertas siasatan terbabit semalam dan ia diteliti oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor sebelum arahan pendakwaan dikeluarkan.

“Berdasarkan arahan itu, remaja perempuan berusia 19 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana didakwa membunuh bayi baru dilahirkan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, polis menahan dua pelajar kolej bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan baru dilahirkan di sebuah rumah yang dijadikan tempat penginapannya.

Penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan mengenai seorang pelajar perempuan dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom di sini, kerana dipercayai baru melahirkan anak.

Kejadian ini terbongkar apabila pelajar perempuan yang juga ibu kandung pada bayi terbabit dibawa ke hospital terbabit oleh guru bertugas selepas mengadu tidak sihat.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan kesihatan dijalankan, pelajar terbabit didapati baru sahaja melahirkan bayi manakala terdapat seorang lagi bayi dalam kandungannya.

Siasatan terhadap teman lelaki suspek turut mengakui memberikan RM450 kepadanya supaya menggugurkan kandungannya.

Pemeriksaan awal ke atas bayi terbabit menemukan beberapa kesan tikaman pada tubuhnya namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top