Singapura sedia tangani jerebu rentas sempadan

Singapura sedia tangani jerebu rentas sempadan

Singapura: Singapura bersedia melaksanakan langkah tindak balas sekiranya jerebu rentas sempadan menjejaskan kualiti udara negara itu ketika rantau selatan ASEAN mula memasuki musim kering, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu.

Beliau berkata agensi kerajaan di bawah Pasukan Petugas Jerebu yang dipengerusikan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) bersedia melaksanakan pelan tindakan masing-masing sekiranya kualiti udara terjejas akibat jerebu rentas sempadan.

“Keutamaan kami adalah untuk melindungi kesihatan orang ramai, khususnya golongan rentan, serta memastikan kehidupan harian dan perkhidmatan penting dapat diteruskan seperti biasa.

“Kami telah memastikan stok simpanan pelitup muka negara mencukupi, manakala sekolah, prasekolah serta kemudahan kediaman dan penjagaan dilengkapi dengan alat penapis udara,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen pada Rabu.

Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) pada Isnin mengaktifkan Amaran Tahap 2 bagi rantau selatan ASEAN, yang menunjukkan peningkatan risiko jerebu rentas sempadan.

Fu berkata angin lazim ketika ini tidak membawa jerebu ke Singapura, walaupun asap jerebu telah bergerak dari Kalimantan ke Sarawak sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Beliau berkata kementeriannya telah mempergiat usaha komunikasi awam berikutan peningkatan risiko jerebu rentas sempadan menjejaskan Singapura.

“NEA akan terus bekerjasama dengan media bagi menyokong pelaporan tepat pada masanya mengenai kualiti udara dan nasihat kesihatan supaya sekolah, majikan dan orang ramai mendapat maklumat yang mencukupi serta dapat mengambil tindakan sewajarnya sekiranya kualiti udara terjejas,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top