Pelakon wanita, Farah Wahida Zainuddin bersama tiga individu lain mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 2024.
Farah Wahida, 44, dan rakannya, Mohd Nizam Jamaluddin, 45, masing-masing berdepan empat pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Sementara itu, dua lagi tertuduh iaitu Lim Sue Peng, 54, dan Lim Sian Tze, 54, masing-masing menghadapi lima dan lapan pertuduhan serta membuat pengakuan sama di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Farah Wahida selaku Pengarah Focal Reality Entertainment Sdn Bhd, Sue Peng selaku Pengarah Zfinity dan Sian Tze selaku pemilik LST Concept Marketing didakwa memberikan dokumen palsu iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 kepada ejen PERKESO bagi tujuan tuntutan insentif program berkenaan.

Kesalahan itu didakwa berlaku di beberapa premis di sekitar Off Jalan Gombak, Jalan Sungai Besi dan Taman Sri Sinar Segambut antara 29 Mac hingga 2 Oktober 2024.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Mohd Nizam pula didakwa atas empat pertuduhan bersubahat bersama Farah Wahida melakukan kesalahan sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaras dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nazreena Zainudin.
Farah Wahida diwakili peguam Zulkifli Awang, manakala Sian Tze dan Sue Peng masing-masing diwakili peguam Ahmad Faruq Sidik serta S Kirthen.

Mahkamah membenarkan Farah Wahida diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya beliau melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.
Mohd Nizam pula dikenakan jaminan RM6,000, manakala Sue Peng dan Sian Tze masing-masing dikenakan jaminan RM35,000 dan RM48,000.
Ketiga-tiga tertuduh turut diarahkan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.




