‘Jangan jadikan isu RCI Tabung Haji medan salahkan parti politik’ – Reezal Merican

‘Jangan jadikan isu RCI Tabung Haji medan salahkan parti politik’ – Reezal Merican

KEPALA BATAS – Isu berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dijadikan medan untuk menyalahkan mana-mana parti politik secara keseluruhan sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, individu yang didapati melakukan kesalahan perlu disiasat dan dikenakan tindakan, namun adalah tidak wajar mengaitkan keseluruhan parti termasuk Barisan Nasional (BN) dan UMNO dengan isu berkenaan.

Menurutnya, bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim juga telah menyatakan kesediaan memberi kerjasama penuh sekiranya siasatan dijalankan semula termasuk menerima tindakan jika didapati bersalah.

“BN dan UMNO sebelum ini juga pernah mengambil tindakan terhadap pemimpin yang didapati melakukan kesalahan. Jadi, janganlah kita mengaitkan keseluruhan parti dengan isu rasuah.

“Kita perlu melihat perkara ini secara adil dan tidak menjadikannya sebagai bahan politik sehingga menjejaskan keyakinan pendeposit terhadap Tabung Haji,” katanya ketika ditemui selepas Program Serahan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan 2026 Parlimen Kepala Batas di sini pada Khamis.

Dalam program berkenaan, sebanyak 200 Jalur Gemilang yang siap dipasang bersama kayu pemegang diagihkan kepada orang ramai bagi membantu mengelakkan kesilapan pemasangan bendera.

Mengulas lanjut, Reezal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam berkata, kepentingan semua pendeposit TH perlu diberi perhatian dalam perbahasan RCI tanpa dipengaruhi sentimen politik kerana institusi itu melibatkan dua kelompok pendeposit yang mempunyai kepentingan berbeza.

Katanya, terdapat golongan yang menyimpan wang bagi tujuan menunaikan ibadah haji manakala sebahagian lagi menjadikan TH sebagai medium pelaburan.

“Maknanya, kira-kira 20 peratus pendeposit memiliki 80 peratus daripada keseluruhan nilai simpanan. Jadi ada dua kategori pendeposit yang perlu diambil kira.

“Tetapi yang paling penting ialah kita perlu menjaga majoriti pendeposit iaitu kira-kira 53 peratus yang hanya memegang sekitar 20 peratus daripada jumlah nilai simpanan. Pada masa sama, kepentingan pelabur juga perlu dipelihara,” katanya.

Beliau berkata, perbahasan mengenai RCI perlu dilakukan secara berhemah tanpa terlalu dipengaruhi unsur politik bagi memastikan keyakinan orang ramai terhadap TH terus kekal.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan akan membentangkan dapatan laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH pada sidang khas Parlimen, minggu depan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini menerbitkan laporan RCI setebal 211 halaman mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu mengandungi pelbagai syor bagi memperkukuh tadbir urus serta menambah baik operasi institusi berkenaan.

Antara dapatan utama RCI ialah TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017 berbanding keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.

Suruhanjaya itu turut mengenal pasti beberapa kelemahan tadbir urus termasuk kuasa menteri yang terlalu luas dalam pelantikan, pertindihan peranan antara ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan, selain pengaruh politik dalam pentadbiran TH.

Scroll to Top