Israel lancar serangan terbesar ke atas Lubnan, cetus kebakaran hutan

Israel lancar serangan terbesar ke atas Lubnan, cetus kebakaran hutan

BEIRUT: Israel melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran di selatan Lubnan dalam pengeboman yang disifatkan paling dahsyat sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada awal Jun hingga mencetus kebakaran hutan.

Serangan itu berlaku ketika perunding Israel dan Lubnan mengadakan rundingan yang dipantau Amerika Syarikat (AS) di Rom.

Seorang lelaki terbunuh manakala 12 lagi cedera di Tibnin selepas serpihan serangan Israel mengenai bumbung sebuah dewan ibadat di kawasan tanah perkuburan, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, pihaknya menyambung semula serangan sebagai tindak balas terhadap pelanggaran jelas gencatan senjata oleh Hizbullah, tanpa memberikan butiran lanjut.

Sebelum itu pada Rabu, beberapa media melaporkan dua anggota tentera Israel terbunuh akibat letupan dalam sebuah bangunan yang dipasang perangkap bom di bandar Majdal Zoun, Lubnan.

Peningkatan ketegangan itu berlaku ketika lebih 820,000 rakyat Lubnan yang terpaksa berpindah akibat serangan udara dan arahan pemindahan mula pulang ke rumah masing-masing, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pusingan ketujuh rundingan Israel-Lubnan dihentikan lebih awal pada petang Rabu atas permintaan Israel, lapor Times of Israel dan Al-Monitor.

Menurut media Israel, Duta Israel ke AS, Yechiel Leiter menuduh delegasi Lubnan berulang kali membocorkan maklumat palsu kepada media. Rundingan itu dijadualkan disambung semula pada Khamis.

IDF menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan sebagai sebahagian daripada apa yang disebutnya sebagai zon keselamatan bagi menghalang Hizbullah melancarkan roket dan mortar merentasi sempadan.

Di bawah gencatan senjata pada 3 Jun, Israel bersetuju untuk berundur secara berperingkat dan menyerahkan kawalan ke atas zon perintis kepada tentera Lubnan, dengan syarat Hizbullah tidak lagi dapat melancarkan serangan dari kawasan berkenaan.

Hizbullah menolak perjanjian itu, menuntut pengunduran penuh Israel serta enggan melucutkan senjata.

IDF turut mengebom Al-Mansouri sebelum menyerang Burj el-Shamali di luar Tyre dan turut mengeluarkan arahan pemindahan penduduk buat kali pertama dalam tempoh kira-kira dua bulan.

Scroll to Top