am@hmetro.com.my
Butterworth: Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di negeri ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas lapan pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal dan mencabul kehormatan beberapa pelajar lelaki antara Mei 2023 hingga Januari 2026.
Tertuduh, Ahmad Fahmi Haron, 52, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sebuah sekolah dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) antara April hingga Mei 2024.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan kedua hingga kelapan dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap enam pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun secara berasingan tanpa kerelaan mereka dengan niat mencabul kehormatan.
Bagi semua pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Ahmad Fahmi didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah bilik dan kantin sekolah dengan pertuduhan antara Mei 2023 hingga Januari 2026.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam, Muhd Nazreev Mohd Najeeb.
Semasa prosiding, Wan Amira Ruzaini tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana berpandangan pertuduhan yang dihadapi lelaki terbabit adalah serius selain ia membabitkan pelajar bawah umur.
“Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan jaminan saya mohon tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan,” katanya.
Muhd Nazreev bagaimanapun memohon supaya mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan anak guamnya diikat jamin dan memaklumkan tertuduh dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) SPU dan tiada risiko mengganggu mangsa.
“Anak guam kami juga bersedia dengan semua syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan selain dia yang masih bujang turut menanggung tiga anak saudaranya yang kurang berkemampuan,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM45,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin iaitu bagi pertuduhan pertama sebanyak RM10,000 dan setiap pertuduhan kedua hingga kelapan masing-masing sebanyak RM5,000.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




