‘Bersatu mahu bentuk gabungan baharu, automatik terkeluar daripada PN’- Abdul Hadi

‘Bersatu mahu bentuk gabungan baharu, automatik terkeluar daripada PN’- Abdul Hadi

MARANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap terkeluar secara automatik daripada Perikatan Nasional (PN) berikutan tindakan parti itu yang mahu membentuk gabungan bersama parti lain.

​Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mengikut perlembagaan, mana-mana pihak yang memutuskan untuk menyertai atau membentuk jalinan lain secara automatik hilang keahlian tanpa memerlukan sebarang surat rasmi atau keputusan khusus.

​”Dia sudah membuat kenyataan nak tubuh satu pasukan lain… automatik dia keluar. Tapi secara rasmi tak adalah, tak payah rasmi.

​”Dia terkeluar dengan sendiri bila dia buat begitu. Ikut perlembagaan bila kita pergi ke lain, habislah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, Bersatu akan membentuk gabungan baharu yang lebih hebat bersama beberapa lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.

Presiden Bersatu itu berkata, gabungan baharu tersebut antara lain akan turut membabitkan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya PUTRA dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

​​Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan, Pas sentiasa konsisten berusaha ke arah perpaduan Melayu-Islam serta hubungan dengan kaum lain demi menyelamatkan orang Melayu.

​Bagaimanapun, beliau membidas pendekatan kerajaan yang didakwa seolah-olah mahu menghukum dan menghina orang Melayu menerusi isu rasuah.

​Beliau mendakwa, tindakan penguatkuasaan seolah-olah hanya menumpukan dan menyenaraikan orang Melayu yang terlibat rasuah, sama ada kes kecil mahupun besar.

​Katanya, mengikut pengamatan beliau, golongan bukan Melayu yang menjadi pemberi rasuah atau terlibat dalam aktiviti haram tidak dikenakan tindakan sewajarnya.

​”Patutnya hukum orang yang beri rasuah itu iaitu orang bukan Melayu. Keadaan ini menghina orang Melayu… cari banyak-banyak muka orang Melayu yang rasuah,” tegasnya.

Ditanya ​mengenai hubungan dan rundingan dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Abdul Hadi memberitahu, proses perbincangan masih terus berjalan.

Katanya, situasi politik di Melaka tidak sama seperti di Negeri Sembilan atau Johor walaupun keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan kemenangan 18 kerusi, pemetaan kerusi Parlimen di kawasan berkenaan memaparkan dinamik yang berbeza.

​Sementara itu, Abdul Hadi berpuas hati terhadap struktur pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi pentadbiran Negeri Sembilan.

​Menurut beliau, Pas menerima kuota yang sewajarnya dalam pentadbiran negeri berkenaan.

​”Ya, kita puas hatilah dengan pelantikan tersebut,” ujarnya ringkas.

Scroll to Top