mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih Filipina, Carles Cuadrat percaya skuad kendaliannya mempunyai ramuan untuk memberi saingan sengit kepada Harimau Malaya apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.
Perlawanan itu menyaksikan Malaysia yang menghuni tangga ketiga Kumpulan B dengan enam mata wajib meraih kemenangan bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir, manakala Filipina yang berada di kedudukan keempat dengan tiga mata pula boleh dikatakan sudah tidak lagi mempunyai peluang untuk mara.
Bagaimanapun, Cuadrat menegaskan anak buahnya tetap bersemangat untuk mencipta sejarah dengan memburu kemenangan sulung Filipina di bumi Malaysia.
Menurut Cuadrat, beliau sudah melakukan analisis terperinci terhadap kekuatan Malaysia yang disifatkannya memiliki barisan pemain berkualiti terutama di bahagian serangan, sekali gus menyediakan pelan terbaik bagi menghadapi cabaran itu.
“Ya, kami boleh bermain dengan pelbagai cara dan mengubah persediaan pasukan. Kami sudah menganalisis pasukan Malaysia. Mereka adalah pasukan yang sangat baik dan mempunyai pemain yang sangat berkualiti di bahagian serangan.
“Kami mempunyai pelan, ini peluang untuk kami mencipta sejarah kerana Filipina tidak pernah menang di Malaysia. Mungkin ini peluang yang baik. Kami cuba memotivasikan pemain untuk mendapatkan keputusan yang baik dan berharap perlawanan esok berjalan dengan lancar,” katanya, dalam sidang media pra perlawanan kumpulan B Piala ASEAN 2026 membabitkan Malaysia bertemu Filipina, sebentar tadi.
Selain itu, Cuadrat turut mengakui kehadiran pemain yang pernah beraksi di Malaysia memberi kelebihan kepada Filipina kerana mampu berkongsi maklumat mengenai lawan.
“Sentiasa bagus apabila mempunyai pemain yang mengenali lawan dan boleh memberikan maklumat. Itu sentiasa membantu.
“Kami masih berpeluang mengumpul enam mata. Jumlah itu sama seperti yang kami raih dalam kejohanan tiga tahun lalu, namun ketika itu ia masih tidak mencukupi untuk layak kerana perbezaan gol.
“Jadi, kami mahu memastikan perlawanan ini memberi manfaat, terutama kepada pemain muda supaya mereka memperoleh pengalaman berharga dan terus berkembang,” katanya.
Mengikut rekod, kali terakhir Filipina mencatat kemenangan menentang Malaysia pada 1991 ketika Sukan SEA Manila.
© New Straits Times Press (M) Bhd



