mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengalaman beraksi di Liga Super dimanfaatkan sepenuhnya penjaga gol Filipina, Quincy Kammeraad apabila bertindak sebagai ‘perisik’ untuk membantu ketua jurulatih, Carles Cuadrat mengenal pasti kekuatan Harimau Malaya menjelang aksi terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.
Kammeraad berkata, sejak musim lalu mengakui berkongsi maklumat mengenai pemain Malaysia berdasarkan pengalaman beraksi bersama dan menentang mereka dalam saingan domestik.
“Sejujurnya saya ada bercakap dengan jurulatih mengenai pemain yang ada dalam skuad Malaysia. Saya tahu ancaman mereka berdasarkan aksi dalam Liga Super dan perlawanan terakhir menentang Filipina.
“Endrick, walaupun dia cedera sekarang, saya tidak akan kata ia satu kelegaan kerana saya tahu Malaysia mempunyai skuad yang mendalam. Setiap pemain dalam pasukan kebangsaan layak berada di sana dan ia tetap tidak akan menjadi tugas mudah walaupun tanpa mereka,” katanya, dalam sidang media pra perlawanan kumpulan B Piala ASEAN 2026 membabitkan Malaysia bertemu Filipina, sebentar tadi.
Menurut Kammeraad, kekuatan sebenar Filipina bukan terletak kepada individu, sebaliknya hubungan erat yang terjalin dalam kalangan pemain sejak kem latihan bermula.
“Saya fikir perkara terbaik dalam pasukan ini ialah semangat kebersamaan. Daripada apa yang saya ingat sejak kem terakhir, kumpulan ini sangat rapat.
“Selepas perlawanan pertama, kami menjadi lebih bersatu. Kami berkongsi matlamat sama iaitu bermain untuk negara dan mewakili Filipina dengan lambang di dada. Ia sentiasa menjadi satu kebanggaan.
“Semangat itu jelas dapat dilihat bukan saja ketika perlawanan, malah ketika latihan dan di hotel. Saya fikir itulah yang menjadikan pasukan ini sangat kuat,” katanya.
Mengikut rekod, Malaysia ketika ini menghuni tangga ketiga Kumpulan B dengan enam mata sekali gus wajib meraih kemenangan bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Filipina yang berada di kedudukan keempat dengan tiga mata pula boleh dikatakan sudah tidak lagi mempunyai peluang untuk mara.
© New Straits Times Press (M) Bhd



