PRN Melaka: 'Bila rundingan dilakukan, tunggulah pilihan raya' – Asyraf Wajdi

PRN Melaka: 'Bila rundingan dilakukan, tunggulah pilihan raya' – Asyraf Wajdi

am@hmetro.com.my

Tanah Merah: Sebarang rundingan berhubung pengagihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka belum dilakukan setakat ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menyerahkan kepada kepimpinan kedua-dua parti untuk berbincang mengenai perkara itu.

“Asasnya sebagaimana di Negeri Sembilan, prinsip begitulah. Bagaimanapun, kita akan mengadakan rundingan berhubung isu berkenaan.

“Bila rundingan itu dilakukan, kita tunggulah pilihan raya kerana setakat ini belum ada keputusan muktamad.

“Biarlah perundingan berjalan terlebih dahulu dan jangan kita mendahului perundingan. Apabila sampai masanya nanti, kita akan umumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tanah Merah, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari.

Semalam, media melaporkan Barisan Nasional (BN) sedia mempertahankan semua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang gabungan itu pada PRN Melaka tidak lama lagi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, hasrat itu disuarakan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang berazam mempertahankan semua kerusi berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerjasama di antara BN dan Perikatan Nasional (PN) akan turut dilaksanakan di empat negeri yang ditadbir PN, Asyraf Wajdi berkata, beliau mengharapkan kerjasama yang terjalin itu berpanjangan.

“Paling penting, kerjasama yang terjalin adalah berpanjangan dan kerjasama ini memerlukan sifat lapang dada semua pihak.

“Kita boleh lihat sentimen akar umbi rakyat, contohnya di Negeri Sembilan, jelas mereka inginkan orang Melayu tidak berpecah. Jangan khuatir kalau parti-parti besar khususnya UMNO-PAS bekerjasama kerana ia akan menguatkan lagi politik negara sekali gus kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat akan dirasai.

“Ingin saya tekankan, jangan ada sesiapa pun yang mendahului kepimpinan tertinggi. Ini masalahnya bila ada pihak yang berlagak hero, mengeluarkan kenyataan di media sosial sehingga menimbulkan kecelaruan, sedangkan di pihak kepimpinan, kami tidak ada masalah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top