Lebih 3,000 warga emas di Pulau Pinang tinggal sendirian – Siew Khim

Lebih 3,000 warga emas di Pulau Pinang tinggal sendirian – Siew Khim

GEORGE TOWN : Lebih 3,000 warga emas di Pulau Pinang kini tinggal bersendirian atas beberapa faktor termasuk enggan mengikut anak-anak mereka berpindah ke negeri atau negara lain atas urusan pekerjaan dan sebagainya.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, statistik itu diperoleh berdasarkan data penerima bantuan bulanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Februari tahun lepas.

Beliau berkata, apabila lebih ramai warga emas tinggal bersendirian, maka, lebih banyak sokongan diperlukan daripada masyarakat, kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan kebajikan serta kesihatan mereka terus terpelihara.

“Di Pulau Pinang sebagai contoh, beberapa kawasan seperti Padang Tembak, Air Itam dan Mount Erskine telah dikenal pasti sebagai antara lokasi di mana terdapat ramai komuniti warga emas yang aktif apabila mereka selalu berkumpul, berbual serta menghabiskan masa bersama.

“Aktiviti seperti ini penting untuk kesejahteraan emosi mereka apatah lagi Pulau Pinang kini telah diklasifikasikan sebagai sebuah negeri menua selepas semua daerah di negeri ini mencapai status tersebut berdasarkan statistik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan Penang Care & Ageing Initiative iaitu pengumuman kerjasama program khidmat masyarakat (CSR) antara Pejabat Exco Kebajikan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Backliners dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan komuniti seperti penjagaan luka di rumah penjagaan warga emas.

Dalam perkembangan lain, Siew Khim berkata, seramai 11,893 pemohon baharu bagi program bantuan i-Sejahtera di Pulau Pinang akan menerima pembayaran dana berjumlah RM2.15 juta menerusi kaedah pemindahan dana secara elektronik (EFT) bagi Fasa 2/2026 bermula bulan ini.

“Pembayaran membabitkan seramai 8,524 penerima baharu yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan suri emas yang berdaftar sebelum 30 Jun lalu,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top