
KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bakal melancarkan platform Women in Export (WiEX) @MIHAS sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 sebagai usaha memperkukuh penyertaan usahawan wanita dalam perdagangan antarabangsa serta memperluaskan peluang mereka menembusi pasaran eksport global.
Platform yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 September 2026 itu mencerminkan komitmen MATRADE dalam memperkasa syarikat milik dan diterajui wanita agar mampu berkembang melepasi pasaran domestik serta merebut peluang dalam ekonomi halal global yang semakin pesat berkembang.
Meneruskan kejayaan penganjuran sulung WiEX Forum pada tahun lalu, WiEX @MIHAS 2026 mengangkat tema “Advancing Women in the Halal Economy” dan bakal menampilkan empat komponen utama, iaitu WiEX Pavilion, International Sourcing Programme (INSP), WiEX Forum @MIHAS serta Anugerah Wira Ekonomi Wanita.
WiEX Pavilion akan menjadi ruang pameran khas yang menghimpunkan syarikat milik dan diterajui wanita merentasi 14 sektor industri halal MIHAS, manakala INSP pula menyediakan platform padanan perniagaan bersama pembeli, pengedar, peruncit dan pelabur antarabangsa.

Sementara itu, WiEX Forum @MIHAS akan menjadi platform perkongsian ilmu yang membincangkan isu-isu utama berkaitan masa depan perdagangan global, manakala Anugerah Wira Ekonomi Wanita diwujudkan bagi mengiktiraf usahawan wanita yang cemerlang, inovatif dan berjaya meneroka pasaran eksport.
WiEX Pavilion dijangka menghimpunkan usahawan wanita dari Malaysia dan luar negara dengan mengetengahkan produk serta perkhidmatan halal yang inovatif, amalan perniagaan mampan dan penyelesaian yang bersedia untuk pasaran eksport.
Sebanyak 80 reruai disediakan di bawah WiEX Pavilion, melibatkan 60 reruai untuk syarikat Malaysia, manakala selebihnya diperuntukkan kepada peserta antarabangsa.
Syarikat tempatan yang menyertai pavilion tersebut turut berpeluang mengikuti sesi padanan perniagaan yang diatur lebih awal bersama pembeli antarabangsa menerusi MATRADE.

Bagi tujuan itu, MATRADE telah menarik minat lebih 500 pembeli antarabangsa dari pelbagai negara melalui program International Sourcing Programme (INSP) dengan sasaran lebih 120 sesi padanan perniagaan melibatkan syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dalam WiEX Pavilion.
Selain peluang jaringan perniagaan, penyertaan dalam WiEX @MIHAS turut membolehkan syarikat memperoleh akses terus kepada pembuat keputusan antarabangsa serta rakan perniagaan berpotensi menerusi integrasi dengan program INSP yang menjadi antara komponen utama MIHAS.
Antara pengisian utama platform itu ialah WiEX Forum @MIHAS yang membawa tema “Thriving Through Uncertainty: How Women Exporters Can Adapt, Compete, and Grow.”
Forum berkenaan akan menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan pengeksport berjaya bagi berkongsi pandangan mengenai strategi menghadapi perubahan landskap perdagangan global, memanfaatkan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), meneroka pasaran baharu serta membina perniagaan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Bagi melengkapkan inisiatif tersebut, Anugerah Wira Ekonomi Wanita akan mengiktiraf kecemerlangan usahawan wanita dalam tiga kategori iaitu Kecemerlangan Produk, Kecemerlangan Perkhidmatan serta Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian.
Penerima anugerah akan diberikan pendedahan lebih meluas menerusi platform MATRADE dan MIHAS, peluang penjenamaan strategik serta keutamaan menyertai program promosi eksport terpilih.
Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ekonomi halal tidak akan mencapai potensi sepenuhnya sekiranya bakat dan keupayaan usahawan wanita tidak dimanfaatkan secara optimum.
Menurut beliau, WiEX @MIHAS meletakkan usahawan wanita di barisan hadapan dalam memacu inovasi, meningkatkan kualiti serta memperkukuh daya saing pasaran ekonomi halal.

“Setiap usahawan wanita yang berjaya berkembang melalui platform ini akan membawa Malaysia semakin hampir untuk mencapai sasaran RM80 bilion nilai eksport halal menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Indera Abu Bakar Yusof berkata, usahawan wanita kini semakin memainkan peranan penting dalam memacu inovasi, mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi merentas pelbagai industri.
Katanya, melalui WiEX @MIHAS 2026, MATRADE berhasrat membangunkan ekosistem menyeluruh yang menggabungkan peluang perniagaan, kerjasama strategik, pembangunan kapasiti serta pengiktirafan bagi membantu syarikat yang diterajui wanita memperkukuh rangkaian, meningkatkan pengetahuan dan meluaskan akses pasaran eksport agar mampu bersaing di peringkat global dalam industri halal.
Syarikat yang berminat menyertai WiEX @MIHAS 2026 boleh mengemukakan permohonan kepada pegawai MATRADE yang ditetapkan, manakala syarikat halal yang ingin menjadi pempamer MIHAS 2026 boleh membuat pendaftaran menerusi laman web rasmi MIHAS.



