KUALA LUMPUR: Pemain tengah Harimau Malaya, Wan Kuzain Wan Kamal menegaskan dia bersedia memberikan segala yang termampu demi membantu skuad negara menewaskan Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.
Ketika Malaysia berdepan misi hidup mati untuk memburu tiket ke separuh akhir, Wan Kuzain menegaskan fokus utamanya adalah menyumbang kepada pasukan tanpa mengira sama ada diturunkan sebagai pemain utama atau bermula di bangku simpanan.
Pemain berusia 28 tahun itu berkata, kepentingan pasukan sentiasa mengatasi kepentingan peribadi dan dia hanya mahu memastikan kehadirannya mampu memberi impak positif kepada Harimau Malaya.
Menurutnya, setiap pemain dalam skuad negara mempunyai tanggungjawab yang sama untuk membantu pasukan mencapai sasaran mara ke pusingan seterusnya.
“Berapa minit pun yang saya dapat sama ada lima minit, 20 minit atau 90 minit, saya akan berikan segalanya.
“Saya tidak kisah sama ada bermula atau masuk dari bangku simpanan, apa-apa cara pun saya berharap dapat memberikan impak dan membuat perbezaan,” katanya.
Sejak menyertai kem latihan, Wan Kuzain semakin menunjukkan keserasian dan kini dilihat sebagai aset penting yang mampu memperkuatkan jentera tengah skuad Harimau Malaya.
Pengendali interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe turut mengakui pemain itu berjaya menyesuaikan diri dengan baik serta mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang latihan dan aksi kompetitif.
“Harapnya semua pemain telah bersedia (untuk perlawanan ini). Dan pada masa sama, kita tahu Wan Kuzain beradaptasi dengan baik bersama pasukan, beliau juga beraksi dengan bagus.
“Kita lihat bagaimana sama ada bermula dengan kesebelasan yang sama atau membuat sedikit perubahan,”ujar Cheng Hoe.-UTUSAN




