Peruntukan diberi kepada rakyat, sejak bila kita kena bagi Ahli Parlimen? – PM Anwar

Peruntukan diberi kepada rakyat, sejak bila kita kena bagi Ahli Parlimen? – PM Anwar

Isu peruntukan kawasan terus menjadi perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjelaskan pendirian kerajaan berhubung dakwaan berlaku sekatan terhadap peruntukan Ahli Parlimen.

Anwar menegaskan, peruntukan kerajaan bukan semata-mata untuk disalurkan kepada wakil rakyat, sebaliknya keutamaan diberikan kepada rakyat menerusi pelaksanaan projek dan bantuan yang memberi manfaat secara terus.

Menurutnya, sekiranya terdapat peruntukan sebanyak RM2 juta, jumlah itu akan digunakan untuk keperluan rakyat termasuk membaiki kemudahan awam seperti sekolah, sekolah agama, masjid serta sistem perparitan.

“Tak ada (sekatan), peruntukan tak semestinya bagi kepada Ahli Parlimen. Peruntukan diberi kepada rakyat. Sejak bila kita kena bagi Ahli Parlimen?
“Kalau peruntukan ada RM2 juta, RM2 juta kepada rakyat, pada sekolah, sekolah agama, masjid, longkang baiki. Itu semua kita akan lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin, hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berhubung isu sekatan peruntukan kawasan yang didakwa menjejaskan bantuan kepada masyarakat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata dasar penyaluran peruntukan secara terus kepada rakyat bukan perkara baharu dan perkara itu sudah diketahui oleh Ahli Parlimen terbabit ketika mereka pernah memegang jawatan sama sebelum ini.

“Dasar itu terpakai sejak dulu, semasa mereka Ahli Parlimen dulu mereka tahu. Sekarang dia menentang. Jadi bila dia menentang, kita salurkan terus kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Rodziah mendakwa akses sistem MyKhas yang digunakan bagi permohonan serta penyelarasan peruntukan kawasan disekat sejak 29 Julai lalu, sekali gus menjejaskan urusan bantuan kepada penduduk termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik serta institusi tempatan menerusi Projek Mesra Rakyat (PMR).

Artikel lain:  GP Bahrain bakal gegar Sepang, PM Anwar jumpa Pengarah Eksekutif GP Singapura teliti formula kejayaan

Dakwaan sama turut dibangkitkan Lee Chean Chung yang mendakwa baki peruntukan RM3 juta bagi kawasan berkenaan tidak lagi disalurkan melalui Ahli Parlimen selepas akses portal MyKhas miliknya disekat sejak penghujung Mei lalu.

Scroll to Top