Sudah tiba masanya untuk hentikan segala sengketa dan fokus kepada amanah rakyat.
Itulah mesej yang disampaikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias kepada pihak yang masih mempertikaikan kepimpinannya selepas pembentukan kerajaan negeri.
Tanpa berselindung, beliau meminta golongan yang disifatkannya sebagai ‘ceplos-ceplos’ supaya menghentikan perselisihan dan bersama-sama memandang ke hadapan demi memastikan mandat rakyat dapat dilaksanakan dengan baik.
“Saya memberi pandangan kepada ‘ceplos-ceplos’ ini yang masih lagi tidak puas hati kepada Jalaluddin Alias supaya hentikanlah. Kita pandang ke hadapan, bergerak ke hadapan.
“Sekarang ini tugas kita sangat penting. Mandat rakyat yang begitu besar diberikan kepada BN dan PN ini perlu dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, sudah tiba masanya ‘perang psikologi’ dalam kalangan pemimpin parti politik di Negeri Sembilan dihentikan agar semua pihak dapat kembali berganding bahu membangunkan negeri.
Katanya, mandat yang diberikan rakyat bukan sekadar kemenangan di atas kertas, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul oleh kesemua 36 Ahli Dewan Negeri (ADN).
“Kita perlu ingat, rakyat sentiasa memperhatikan tingkah laku dan tugas yang dijalankan oleh semua wakil yang telah diberikan mandat.
“Rakyat akan menghakimi masa depan kerajaan dan Ahli Dewan Negeri yang mereka pilih dalam tempoh penggal ini dan pada pilihan raya akan datang.
“Rakyat akan buat keputusan terhadap prestasi yang telah kita laksanakan bagi tempoh ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya menghentikan budaya fitnah dan adu domba yang hanya akan menjejaskan usaha membangunkan Negeri Sembilan.
Menurutnya, fokus kini adalah memastikan kerajaan dapat bergerak seiring bagi mengotakan segala janji dan harapan rakyat.
“Berhentikan semua, jangan ada lagi fitnah, jangan ada lagi adu domba.
“Matlamat kita adalah untuk mengambil langkah awal bagi menghebatkan Negeri Sembilan semula dan insya-Allah dapat kita laksanakan dengan baik,” ujarnya.




