Kes dadah juruterbang: 2 petugas sudah AVSEC dirakam keterangan

Kes dadah juruterbang: 2 petugas sudah AVSEC dirakam keterangan

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis sudah merakam keterangan dua petugas Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) bagi membantu siasatan kes juruterbang warga tempatan yang ditahan di Indonesia selepas dipercayai membawa dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rakaman percakapan kedua-dua petugas berkenaan dibuat semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini tiada sebarang tangkapan baharu dilakukan berhubung kes berkenaan.

“Keterangan petugas AVSEC ini diambil bagi membantu siasatan yang sedang berjalan.

“Polis kini meneliti semua petunjuk untuk mengesan sindiket serta rangkaian pengedaran yang membekalkan bahan terlarang itu kepada suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hussein berkata, Malaysia tidak akan memohon proses ekstradisi memandangkan juruterbang terbabit akan berdepan tindakan undang-undang di Indonesia.

Siasatan awal sebelum ini mendapati suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan dari sebuah lokasi di Ampang, dua hari sebelum dia dijadualkan terbang.

Fokus polis kini merungkai bagaimana suspek mampu melepasi kawalan pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang, selain mengenal pasti seorang individu yang kini dalam perhatian bagi membantu siasatan, katanya.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berhubung rapat dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengenalpasti jika ada kaitan dengan sindiket dadah di negara jiran itu.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan bahawa kawalan dan saringan mesin pengimbas sinar-X di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikendalikan sepenuhnya oleh AVSEC di bawah Malaysia Airports.

Penemuan awal mendapati tiada sebarang objek mencurigakan dikesan pada bagasi suspek ketika melalui ujian saringan, manakala JSJN masih menjalankan siasatan mendalam bagaimana dadah seberat 26 kilogram itu boleh ‘terlepas’ daripada sistem imbasan berteknologi tinggi.

Pada 28 Julai lalu, juruterbang lelaki tempatan berusia 39 tahun itu ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Hasil pemeriksaan ke atas bagasinya membawa kepada penemuan 15 bungkusan besar berisi 70,114 pil ekstasi serta syabu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top