Kes juruterbang: Polis rakam keterangan dua petugas AVSEC bantu siasatan

Kes juruterbang: Polis rakam keterangan dua petugas AVSEC bantu siasatan

Polis telah mengambil keterangan daripada dua petugas Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) bagi membantu siasatan berkaitan kes juruterbang warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki membawa dadah.

Memetik laporan Harian Metro, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rakaman percakapan terhadap kedua-dua petugas AVSEC itu dibuat pada semalam.

“Tiada tangkapan dibuat.
“Kita merakam keterangan petugas AVSEC bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Hussein, polis kini meneliti pelbagai aspek dalam siasatan termasuk usaha mengenal pasti sindiket serta rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai membekalkan bahan terlarang kepada juruterbang berkenaan.

Beliau turut menjelaskan Malaysia tidak akan membuat permohonan ekstradisi terhadap suspek kerana individu terbabit akan menjalani proses perundangan di Indonesia.

Sebelum ini, Hussein dilaporkan berkata hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah tersebut dari sebuah lokasi di Ampang, dua hari sebelum berlepas melakukan penerbangan.

Beliau berkata, polis turut menyiasat bagaimana suspek boleh melepasi prosedur pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengenal pasti kaitan dengan sindiket dadah di negara itu,” jelasnya.

Walaupun tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini di Malaysia, Hussein memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti seorang individu yang kini menjadi perhatian polis bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebelum ini menjelaskan bahawa proses pemeriksaan bagasi penumpang adalah di bawah tanggungjawab AVSEC yang dikendalikan Malaysia Airports.

Beliau mengesahkan pegawai daripada agensi di bawah AKPS, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), tidak terlibat dalam pemeriksaan bagasi menggunakan mesin pengimbas sinar-X di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Proses saringan bagasi dilakukan oleh AVSEC. Berdasarkan penemuan awal, tiada objek mencurigakan dikesan ketika bagasi juruterbang itu melalui mesin pengimbas sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
“Juruterbang itu juga telah melalui dan melepasi semua prosedur pemeriksaan keselamatan. Bagaimanapun, polis melalui JSJN kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana 26 kilogram dadah boleh melepasi sistem pemeriksaan bagasi berteknologi tinggi,” tambahnya lagi.

Artikel lain: Kes juruterbang: Bukit Aman hantar pasukan penyiasat narkotik ke Jakarta

Pada 28 Julai lalu, seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas pemeriksaan mendapati terdapat 15 bungkusan besar berisi 70,114 pil ekstasi serta syabu dalam bagasinya.

Sumber: Harian Metro (Safeek Affendy Razali)

Scroll to Top