Petaling Jaya: Jenazah bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Eusoff Chin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara di sini pada 3.30 petang ini.
Terdahulu, urusan memandikan jenazah disempurnakan pada 11.30 pagi, sebelum disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya sejurus selepas selesai solat Jumaat.
Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan, dengan diiringi ahli keluarga terdekat serta kenalan rapat.
Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan apabila orang ramai dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh kehakiman negara itu.
Anak Allahyarham, Zubaidah Mohamed Eusoff, 39, ketika ditemui menyifatkan bapanya sebagai seorang yang kelihatan garang pada luarannya, namun sebenarnya mempunyai perwatakan berbeza ketika bersama-sama keluarga.
“Dia orang Perak, jadi bila bercakap tu nampak garang, orang pun selalu ingat dia garang. Tapi sebenarnya dia agak kelakar dan ada sisi lucunya.
“Dia seorang bapa yang sangat baik, semuanya dibuat untuk kebaikan dan keadilan. Kami akan merinduinya,” katanya yang reda dengan pemergian itu selepas 41 tahun perkahwinan ibu dan bapanya.
Sementara itu, seorang lagi anak Allahyarham, Zuliana, 32, berkata kesihatan bapanya mula menunjukkan tanda-tanda merosot sejak dua hari lepas, apabila beliau kurang memberikan respons dan hanya tidur.
“Dia meninggal dunia di Hospital KPJ Damansara. Sebenarnya tiada penyakit serius, cuma dia ada sedikit jangkitan dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Dia pergi dengan cukup tenang,” katanya dan berkata kesemua adik-beradiknya sempat pulang menziarahi Allahyarham, kecuali seorang abangnya yang berada di luar negara.
Mohamed Eusoff, 91, menghembuskan nafas terakhir pada 1 pagi tadi. Beliau berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara kedua Malaysia dari September 1994 hingga Disember 2000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




