Lebih 10 kanak-kanak hilang bot terbalik di DR Congo

Lebih 10 kanak-kanak hilang bot terbalik di DR Congo

KIGALI – Sebuah bot kayu yang membawa kira-kira sedozen penumpang terbalik di sebatang sungai di Republik Demokratik Congo (DR Congo) sehingga menyebabkan lebih 10 kanak-kanak hilang, menurut pegawai masyarakat sivil lewat Khamis, lapor Anadolu Ajansi.

Kemalangan itu berlaku pada Rabu di Sungai Lulua di bandar Demba, wilayah Kasai-Central, menurut penyelaras masyarakat sivil kawasan itu, Marcel Masanka.

“Kanak-kanak itu, kesemuanya berusia sekitar 10 tahun, sedang menyeberangi sungai untuk mengutip ulat bulu sebelum bot itu tenggelam. Nakhoda hilang kawalan akibat arus deras,” kata Masanka kepada pemberita sambil menambah bahawa pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari kanak-kanak yang hilang.

Masanka berkata, hanya nakhoda bot itu terselamat selepas berenang ke tebing sungai. Beliau telah ditahan dan kini berada dalam tahanan polis. – Bernama 

Scroll to Top