M Nasir pilih Aliff Aziz terajui teater muzikal Mansur & Liu

M Nasir pilih Aliff Aziz terajui teater muzikal Mansur & Liu

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Maestro muzik tanah air, Datuk M Nasir menyifatkan penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz sebagai individu paling sesuai memegang watak Sultan Mansur Shah dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu berdasarkan kriteria serta bakat yang dimiliki.

Malah, M Nasir yang juga pengarah teater berkenaan secara berseloroh mendedahkan faktor ketampanan Aliff turut menjadi antara kriteria pemilihannya untuk watak terbabit.

“Semua pelakon dipilih melalui sesi uji bakat. Mengapa mereka dipilih? Kami mempunyai kriteria kami sendiri. Jika melihat kepada persembahan mereka, saya merasakan mereka sangat sesuai dengan watak masing-masing.

“Terutamanya Aliff. Mengapa saya memilihnya? Sebab dia pelakon kedua paling tampan di Malaysia,” katanya memaklumkan pementasan akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 10 hingga 20 September depan..

Mengulas mengenai cetusan idea pementasan terbabit, M Nasir mendedahkan naskhah berkenaan sebenarnya sudah berada dalam fikirannya sejak enam tahun lalu selepas terbabit dalam projek pembacaan buku audio kisah tulisan Tun Sri Lanang.

Bagaimanapun, katanya, perancangan awal untuk merealisasikannya terhenti susulan penularan pandemik Covid-19 selain kekangan tertentu sebelum ini.

“Semasa membacanya, saya menemui kisah Mansur dan Liu lalu sangat tertarik untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah itu.

“Idea ini sudah wujud sejak enam tahun lalu. Apabila ada pihak yang berminat untuk saya menghasilkan pementasan muzikal serta menyediakan sokongan dari segi dana, idea itu muncul semula dan akhirnya berjaya direalisasikan,” katanya.

M Nasir menambah, persediaan dan latihan yang dijalankan selama hampir sebulan memberi keyakinan tinggi bahawa karya itu mampu memberikan impak mendalam kepada industri hiburan tanah air.

Sementara itu, Aliff menyifatkan kepercayaan yang diberikan oleh M Nasir dan pihak produksi sebagai satu penghormatan besar sepanjang kerjaya seninya.

“Ini kali pertama saya menerima peluang seperti ini. Apabila menerima tawaran, saya mengambil sedikit masa untuk berfikir sama ada saya berani atau tidak untuk menerimanya.

“Selepas berbincang dengan keluarga dan rakan-rakan, Alhamdulillah, saya membuat keputusan untuk menerima tawaran ini.

“Seluruh pasukan banyak memberikan sokongan dan saya berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada pementasan teater ini,” katanya.

Teater Muzikal Mansur & Liu diterbitkan oleh Roman Abadi dan Icon Entertainment turut dibintangi Melinda Dadew sebagai Puteri Liu, Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top