ercy.gracella@bh.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berjaya menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar bagi merawat masalah jantung tidak normal di Institut Jantung Negara (IJN), petang tadi.
Perkara itu disahkan oleh IJN dalam kenyataan malam ini.
“IJN mengesahkan Ismail Sabri berjaya menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) bagi merawat masalah rentak jantung tidak normal.
“Selepas prosedur berkenaan, beliau dinasihatkan supaya berehat.
“Lawatan hanya dihadkan kepada ahli keluarga terdekat bagi menyokong proses pemulihan beliau serta memastikan privasi terpelihara,” katanya menurut kenyataan.
Dalam pada itu, IJN berkata pihaknya dengan penuh hormat memohon kerjasama pihak media dan orang ramai supaya menghormati privasi Ahli Parlimen Bera itu serta keluarga beliau sepanjang tempoh ini.
“Sebarang perkembangan lanjut, jika berkenaan, akan disalurkan melalui saluran rasmi yang dibenarkan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menangguhkan prosiding pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Bera itu ke 27 Ogos ini atas faktor kesihatan.
Hakim Suzana Hussin menetapkan tarikh berkenaan selepas Amer Hamzah memaklumkan Ismail Sabri sedang menerima rawatan di IJN dan dijadual menjalani satu prosedur berkaitan masalah degupan jantung tidak sekata atau aritmia.
Amer Hamzah turut dilapor mengesahkan pertuduhan sudah difailkan terhadap anak guamnya.
Beliau memaklumkan Ismail Sabri mengalami masalah kesihatan ketika berada di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk proses rakaman percakapan, semalam, sebelum dikejarkan ke IJN.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan bagi pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan sehingga jam 9 pagi, 27 Ogos ini.
Sebelum ini, Ismail Sabri dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai perisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




