Gerai, warung juga perlu diindahkan – PM

Gerai, warung juga perlu diindahkan – PM

am@hmetro.com.my

Melaka : Pembangunan bandar tidak boleh hanya tertumpu kepada kemegahan mercu tanda, bangunan besar dan pelaburan, sebaliknya perlu mengambil kira kehidupan rakyat biasa termasuk komuniti setempat, gerai serta warung, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, pembangunan negara perlu diseimbangkan antara pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam, budaya dan nilai kemanusiaan supaya bandar yang dibangunkan bukan sekadar indah dari segi fizikal.

Menurutnya, landskap bukan hanya elemen mencantikkan bandar, tetapi sebahagian daripada sistem pembangunan yang saling berkait dengan kehidupan manusia dan persekitarannya.

“Kita pacu pertumbuhan ekonomi, kita ada industri, pelaburan baharu, kita rancakkan kegiatan pelancongan kerana ini semua akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Tetapi kita membina ini, gedung yang harus menjaga dan mewarnai watak manusiawi bukan gedung kosong. Inilah cabaran terbesar kita,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara 2026 di Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Anwar berkata, pembangunan seimbang perlu mengambil kira hubungan manusia dengan alam sekitar selain memastikan aspek nilai, budaya dan kemanusiaan tidak diketepikan.

Katanya, konsep keseimbangan seperti prinsip ‘ummatan wasatan’ merangkumi keseimbangan antara iman dan ilmu, akal dan kalbu, rohani dan jasmani serta hubungan manusia dengan persekitarannya.

Menurutnya, sesebuah bandar tidak seharusnya hanya dilihat indah melalui bangunan dan prasarana, tetapi perlu mempunyai identiti, budaya serta kesejahteraan untuk semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata, tumpuan pembangunan tidak boleh hanya diberikan kepada kawasan yang sering dikunjungi golongan berpendapatan tinggi, sebaliknya perlu meliputi ruang kehidupan majoriti rakyat.

“Kita kenal dengan mercu tanda hebat-hebat, gagah-gagah, tetapi jangan lupa majoriti rakyat itu makannya bukan di restoran lima bintang.

“Majoriti rakyat itu makan di gerai, di warung, di restoran kecil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top