Kuala Lumpur: Penyertaan wanita dalam tenaga kerja di Malaysia mencatatkan penurunan ketara daripada 69 peratus ketika di usia awal 40-an kepada hanya 34 peratus apabila menghampiri usia lewat 50-an.
Penurunan berkenaan berlaku selari dengan tempoh kebanyakan wanita mengalami fasa perimenopaus dan menopaus, yang kerap memberi impak kepada prestasi harian serta kesihatan emosi.
Bagi menangani dan merapatkan jurang berkenaan, platform penjagaan kesihatan Luness dilancarkan secara rasmi bagi menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan yang diperibadikan, mudah dicapai dan boleh dilakukan dari rumah.
Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Luness, Fontaine Fong berkata, wanita dalam lingkungan usia 40-an dan 50-an kebanyakannya berada di kemuncak kerjaya masing-masing sambil mengimbangi tanggungjawab keluarga.
“Luness wujud kerana terlalu ramai wanita di Malaysia diberitahu bahawa simptom mereka hanyalah tekanan atau faktor usia semata-mata.
“Kami membina platform ini supaya mereka boleh mendapatkan jawapan sebenar dari rumah, tanpa perlu menunggu bertahun-tahun sebelum seseorang mengambil serius keadaan mereka,” katanya.
Mengulas mengenai senario di negara ini, cabaran perimenopaus jarang dibincangkan secara terbuka berbanding isu kehamilan atau keletihan mental (burnout).
Malah, wanita tempatan lebih kerap mengalami simptom seperti sakit sendi berbanding gejala ‘panas badan’ (hot flashes), sekali gus menyebabkan ramai tersalah anggap ia sekadar tanda tekanan atau proses penuaan biasa.
Sementara itu, Pengasas Naluri, Azran Osman-Rani berkata, kekangan maklumat menyebabkan ramai wanita menderita secara senyap di tempat kerja.
“Ramai wanita mengalami ‘kabus otak’ (brain fog), gangguan tidur, keletihan dan keresahan secara senyap, seterusnya menganggap ia sebagai tanda mereka semakin hilang prestasi dalam kerjaya atau mengalami burnout awal,” jelasnya.
Bagi mengatasi isu itu, Luness dibangunkan berasaskan tiga janji utama iaitu penyediaan penjagaan yang diperibadikan mengikut keperluan, akses mudah kepada panduan perubatan dari rumah, serta penjagaan berasaskan bukti saintifik khusus untuk kesihatan hormon wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




