Penunggang motosikal maut kemalangan di LDP

Penunggang motosikal maut kemalangan di LDP

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Puchong: Penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 23.9 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan yang tular di media sosial itu pada 1.06 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van berhenti di lorong kiri daripada empat lorong selepas dipercayai terbabit kemalangan dengan kenderaan lain.

“Tidak lama kemudian, sebuah motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang lelaki tempatan gagal mengelak van dan terbabas sebelum jatuh di lorong tengah.

“Selepas itu, sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak, lalu merempuh mangsa dan turut terjatuh di lokasi.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang Honda Vario disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera dan menerima rawatan di Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu, katanya, pemandu van tidak cedera dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 09-80742222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top