Jaga kesihatan otak seawal 30-an kurangkan risiko demensia – Pakar

Jaga kesihatan otak seawal 30-an kurangkan risiko demensia – Pakar

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Penjagaan kesihatan otak perlu diberi perhatian seawal usia 30 hingga 40 tahun, bukannya hanya apabila seseorang memasuki usia emas bagi mengurangkan risiko mengalami demensia pada kemudian hari.

Pakar Neurologi dan Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Anna Misyail Abul Rashid berkata, masyarakat perlu memahami bahawa penuaan secara sihat bukan sekadar memiliki umur panjang, tetapi memastikan individu terus menikmati kualiti hidup baik dari aspek fizikal, mental dan fungsi kognitif.

Jelasnya, ramai masih beranggapan usia 30 atau 40 tahun adalah tempoh untuk bekerja dan membina kerjaya sehingga mengabaikan kesihatan, sedangkan pada usia itulah langkah pencegahan perlu dimulakan kerana ketika ini semakin ramai golongan muda diserang penyakit kronik.

“Trend sekarang menunjukkan semakin ramai pesakit berusia 30 hingga 40 tahun mengalami strok, penyakit jantung dan penyakit metabolik. Sebab itu penjagaan kesihatan perlu bermula lebih awal dan bukannya menunggu sehingga umur 50 atau 60 tahun.

“Tiga penyakit utama iaitu diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi perlu dikawal kerana ia bukan sahaja meningkatkan risiko penyakit jantung, malah boleh menyebabkan kerosakan saluran darah di otak sehingga menjejaskan fungsi memori dan meningkatkan risiko demensia,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, masyarakat juga perlu mengamalkan pemakanan seimbang, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala serta mengubah gaya hidup yang terlalu sedentari (kurang pergerakan) dengan melakukan aktiviti fizikal dan senaman secara konsisten, selain mengelak tabiat merokok dan pengambilan alkohol.

Tambahnya, selain penjagaan kesihatan fizikal, masyarakat juga perlu memberi perhatian terhadap rangsangan kognitif kerana ia membantu memastikan otak terus aktif dan berfungsi dengan baik apabila usia meningkat.

“Aktiviti seperti membaca, menyelesaikan teka silang kata, Sudoku, susun suai gambar (jigsaw puzzle), mempelajari bahasa baharu atau alat muzik serta menghafal al-Quran mampu memberi rangsangan kepada otak kerana ia menggalakkan seseorang berfikir, mengingati dan menyelesaikan masalah.

“Apabila kita sentiasa belajar perkara baharu, otak akan terus dirangsang dan kekal aktif. Teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan sebagai alat bantuan pembelajaran dan kehidupan harian.

“Namun, penggunaannya perlu seimbang supaya ia melengkapkan keupayaan kita, bukannya menggantikan proses berfikir, mengingat dan menyelesaikan masalah,” katanya.

Menurut Dr Anna Misyail, interaksi sosial juga penting dalam memastikan kesihatan otak kekal baik kerana aktiviti bersama keluarga, komuniti atau menyertai program kemasyarakatan memberi rangsangan kepada fungsi kognitif selain membantu warga emas kekal aktif dan berdikari.

Mengulas mengenai demensia, katanya, penyakit itu ialah kemerosotan fungsi kognitif yang menjejaskan keupayaan seseorang mengingat, berfikir dan menjalankan aktiviti harian, manakala diagnosis perlu dibuat oleh pakar neurologi melalui penilaian dan ujian khusus.

“Walaupun kebanyakan pesakit demensia berusia 60 tahun ke atas, demensia juga boleh berlaku sebelum usia 60 tahun, dikenali sebagai young-onset dementia. Kes-kes dalam golongan ini semakin kerap dikenal pasti, sebahagiannya hasil peningkatan kesedaran dan pengesanan awal.

“Lebih awal seseorang mendapatkan pemeriksaan, lebih baik kerana rawatan yang ada ketika ini memberi manfaat paling besar pada peringkat awal penyakit. Sebab itu masyarakat tidak boleh menganggap masalah ingatan sebagai perkara biasa apabila usia semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, selain rawatan, pesakit dan ahli keluarga juga memerlukan sokongan berterusan termasuk bimbingan daripada pakar neurologi, pakar geriatrik, pusat terapi dan persatuan berkaitan demensia bagi membantu mengurus perubahan tingkah laku, emosi serta cabaran harian yang dihadapi pesakit.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib dilaporkan berkata, demensia bukan lagi sekadar isu kesihatan, sebaliknya menjadi cabaran nasional apabila Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030 dengan kira-kira 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas.

Katanya, keadaan itu memerlukan komitmen kerajaan, komuniti dan keluarga dalam menyediakan sistem penjagaan warga emas yang lebih menyeluruh, termasuk memperkukuh usaha pencegahan, pengesanan awal dan sokongan kepada pesakit demensia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top