am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM1.29 juta bagi melaksanakan 13 projek penyelenggaraan dan baik pulih institusi pendidikan Islam (IPI) termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di seluruh Melaka tahun ini.
Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Karnival Gelombang MADANI Di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan pimpinannya prihatin mengenai nasib IPI termasuk sekolah pondok dan maahad tahfiz di seluruh negara yang terbiar tanpa peruntukan dan pada masa sama menyeimbangkan bantuan untuk sekolah Cina dan India.
Beliau berkata, peruntukan diluluskan itu membabitkan kerja membaiki infrastruktur asas pusat pengajian pondok dan tahfiz, menaik taraf kawasan sekolah, menurap semula kawasan rizab untuk dijadikan kawasan parkir serta membaik pulih dan mengecat bangunan.
Katanya, daripada jumlah itu, Madrasah Tahfidz Al-Quran Wal Qiraat, Kota Melaka menerima peruntukan terbesar sebanyak M250,000 bagi projek pembaikan infrastruktur asas pusat pengajian pondok dan tahfiz.
“Turut menerima peruntukan adalah Sekolah Agama Rakyat (SAR) JAIM Durian Tunggal sebanyak RM140,000, SAR JAIM Tebong, Jasin (RM30,000), SAR JAIM Kampung Baru (RM50,000), SAR JAIM Serkam Darat (RM70,000) dan SAR JAIM Taman Maju, Jasin (RM100,000),” katanya berucap pada program itu.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Wan Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, serta Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adly Abdul Halim.
Anwar berkata, peruntukan turut diluluskan kepada SAR di Ayer Keroh iaitu SAR JAIM Tun Razak sebanyak RM65,000, SAR JAIM Batu Berendam (RM70,000) dan SAR JAIM Taman Tasik Utama (RM40,000) bagi kerja menurap semula kawasan sekolah.
Katanya, bagi sekolah menengah Arab, Sekolah Menengah Arab JAIM Al-Asyraf Alor Gajah menerima RM65,000, manakala Sekolah Menengah Arab JAIM Assayidah Khadijah, Jasin mendapat RM160,000 bagi kerja menurap semula kawasan sekolah dan kerja berkaitan.
“Selain itu Sekolah Rendah Arab JAIM Tun Razak pula menerima peruntukan RM50,000 untuk kerja menurap semula kawasan sekolah diikuti Sekolah Rendah Arab Pernu (RM200,000), ” katanya.
Sementara itu, Anwar menegaskan kerajaan akan terus berusaha menyantuni dan menjaga kepentingan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Jadi untuk sekali lagi saya tekankan, untuk program dan bantuan sekolah Cina dan Tamil kita dah tetapkan akan umum di Kuala Lumpur, dua minggu lagi.
“Negara ini kalau nak aman, kena bagi jaga semua. Orang Islam majoriti, maka kepentingan majoriti diperuntukkan pada Islam.
“Anak-anak sekolah pondok, maahad tahfiz, ramai yang terbiar, tak ada bantuan, makan kita tingkatkan bantuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



