ALOR GAJAH: Peruntukan kawasan Parlimen bukan hak eksklusif wakil rakyat semata-mata, sebaliknya disediakan bagi memastikan keperluan rakyat di kawasan berkenaan supaya terus diberi perhatian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak menyekat peruntukan untuk ahli Parlimen, sebaliknya dana berkenaan disalurkan terus kepada pihak yang memerlukan termasuk sekolah, masjid dan projek membaiki kemudahan awam.
“Peruntukan tidak semestinya diberi kepada ahli Parlimen, peruntukan diberi terus kepada rakyat. Sejak bila kita kena beri kepada ahli Parlimen?
“Kalau peruntukan ada RM2 juta, RM2 juta kepada rakyat, pada sekolah, sekolah agama, masjid, longkang baiki itu semua kita akan lakukan.
“Tak ada sekatan. Tak payah bagi kepada ahli Parlimen, bagi kepada rakyat. Yang penting apa? Peruntukan untuk siapa? Untuk ahli Parlimen atau untuk rakyat? Jadi soalnya, peruntukan itu harus pada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin di sini semalam.
Sebelum ini, beberapa ahli Parlimen kerajaan mendakwa peruntukan mereka disekat sejak Mei lalu dan tidak lagi mempunyai akses kepada portal MyKhas iaitu sistem berkaitan permohonan peruntukan kawasan.
Antara ahli Parlimen yang dilaporkan membangkitkan perkara itu ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendekatan berkenaan bukan perkara baharu kerana dasar tersebut telah dilaksanakan sejak dahulu dan diketahui sendiri oleh Ahli Parlimen yang pernah berada dalam kerajaan.
“Dasar itu terpakai sejak dulu. Semasa mereka ahli Parlimen dulu mereka tahu. Sekarang, dia menentang. Jadi bila dia menentang, kita salurkan terus kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan kemudahan dan keperluan rakyat tidak terjejas walaupun berlaku perbezaan pandangan politik antara kerajaan dengan wakil rakyat di sesuatu kawasan.
Anwar menegaskan persoalan utama dalam isu peruntukan kawasan Parlimen ialah siapa yang akhirnya menerima manfaat daripada dana tersebut, bukannya sama ada wang berkenaan disalurkan melalui Ahli Parlimen atau sebaliknya.
“Tiada sekatan, yang penting peruntukan itu untuk siapa? Untuk ahli Parlimen atau untuk rakyat? Jadi peruntukan itu mesti sampai kepada rakyat.
“Sekolah, sekolah agama, madrasah, masjid, pembaikan tandas yang rosak, longkang dan pelbagai keperluan lain, semuanya diluluskan,” katanya.-UTUSAN




