Dekorasi pasu mampu wujudkan kelainan sesebuah kediaman

Dekorasi pasu mampu wujudkan kelainan sesebuah kediaman

amir_hamid@mediaprima.com.my

Pasu sering dianggap sekadar pelengkap untuk meletakkan pokok atau bunga, sedangkan pemilihan yang tepat mampu mengubah suasana dan karakter sesebuah ruang.

Bukan hanya reka bentuk yang perlu diberi perhatian, malah material, saiz, tekstur, warna dan kedudukannya juga memainkan peranan dalam memastikan pasu kelihatan serasi dengan konsep kediaman.

Ketua Pegawai Eksekutif RF Gallery Engku Munir Roodienyanto Mohd Rahim atau lebih dikenali sebagai EM Roodie berkata, penggunaan pasu dalam dekorasi kediaman boleh menjadi satu elemen seni yang menghidupkan ruang sama ada di dalam mahupun luar rumah.

Katanya, pemilihan pasu perlu bermula dengan memahami skala ruang kerana pasu bersaiz besar misalnya, boleh menjadi titik tumpuan yang menarik jika diletak di sudut ruang tamu tanpa perlu memenuhi kawasan berkenaan dengan perabot atau aksesori lain.

“Untuk ruang dalaman seperti ruang tamu, penggunaan pasu bersaiz besar di sudut bilik mampu memberikan impak visual yang megah tanpa perlu sarat dengan perabot lain.

“Bagaimanapun, bagi ruang sempit, pilih pasu yang lebih ramping supaya tidak menghalang laluan, namun tetap memberikan sentuhan hijau yang menyegarkan mata,” katanya.

Bagi hiasan luar rumah pula, Engku Munir menyarankan pemilihan material yang tahan lasak terhadap cuaca Malaysia, dengan pasu simen gentian antara pilihan praktikal kerana kukuh serta mempunyai kemasan yang halus.

Katanya, pasu simen gentian sesuai digunakan di dalam dan luar rumah, selain lebih ringan berbanding pasu simen biasa, tahan cuaca panas dan hujan serta sesuai untuk pokok bersaiz sederhana hingga besar.

“Letakkan pasu secara berkelompok dengan ketinggian yang berbeza untuk mewujudkan dinamik visual di laman.

“Elakkan menyusun pasu dalam barisan lurus yang membosankan, sebaliknya cuba susunan berbentuk segi tiga atau separa bulatan,” katanya.

Menurut Engku Munir, terrazzo pula sesuai bagi mereka yang mahu menampilkan kemasan lebih premium dan elegan kerana permukaannya mempunyai corak batu semula jadi seakan marmar.

Pasu jenis itu juga berat dan stabil, sekali gus sesuai untuk pokok besar yang dijadikan titik tumpuan, terutama di rumah mewah, hotel, resort atau pejabat korporat.

“Jika dinding rumah berwarna polos atau neutral, pilih pasu yang mempunyai tekstur berani seperti terrazzo untuk memberikan kontra yang menarik.

“Sebaliknya, jika ruang sudah mempunyai banyak corak seperti kertas dinding, pasu dengan kemasan matte atau minimalis lebih harmoni supaya ruang tidak kelihatan terlalu sesak,” katanya.

Sementara itu, terracotta tanah liat pula memberikan sentuhan lebih semula jadi menerusi tona bumi dan teksturnya yang berliang, selain sifatnya yang membantu pengudaraan akar tanaman.

Engku Munir berkata, material berkenaan sesuai untuk tanaman seperti kaktus, sukulen dan herba, selain serasi dengan kediaman berkonsepkan Mediterranean, Bali dan kampung moden.

“Untuk ruang yang lebih intim seperti bilik tidur atau ruang kerja, penggunaan pasu terracotta sangat ideal kerana sifatnya yang bernafas dan rona bumi memberikan kesan ketenangan serta kehangatan semula jadi,” katanya.

Bagi batu apung pula, material itu mempunyai sifat ringan tetapi kuat, selain menampilkan tekstur semula jadi yang unik dan sesuai dijadikan elemen arca di ruang legar.

Sebuah pasu tinggi daripada batu apung yang diletakkan secara tunggal misalnya mampu mengisi ruang kosong, malah menjadi item penyambut tetamu sebaik mereka melangkah masuk ke kediaman.

“Di kawasan luar, letakkan pasu di tempat yang mendapat pancaran cahaya matahari sisi pada waktu pagi atau petang. Bayang-bayang yang terhasil daripada tekstur kasar pasu akan menonjolkan dimensi puitis pada rekaan tersebut.

“Untuk dalam rumah, penggunaan lampu sorot kecil yang dihalakan ke arah pasu pula boleh mengubahnya menjadi sebuah galeri peribadi,” katanya.

Selain pemilihan material, Engku Munir berkata, pemilik kediaman juga boleh menggabungkan pasu moden dan tradisional menerusi teknik ‘mix and match’ bagi menghasilkan gaya eklektik yang lebih berani.

Katanya, pasu simen moden yang diletakkan bersebelahan pasu terracotta tradisional boleh menghasilkan kombinasi menarik, asalkan terdapat satu elemen penyatu seperti warna tumbuhan atau tema warna pasu.

Dalam pelan terbuka, katanya, pasu bersaiz sederhana juga boleh digunakan sebagai pembahagi ruang secara halus untuk memisahkan ruang makan dengan ruang keluarga tanpa membina dinding kekal.

“Susunan ini memberikan pengudaraan dan penglihatan yang lebih luas, namun tetap mengekalkan privasi setiap zon di dalam rumah,” katanya.

Menurut beliau, aspek penjagaan pula tidak harus dipandang ringan kerana setiap material memerlukan kaedah penyelenggaraan berbeza bagi memastikan pasu tahan lama dan sentiasa kelihatan menarik.

Pasu simen gentian misalnya boleh dibersihkan menggunakan kain lembap atau berus lembut, manakala penggunaan peluntur atau bahan kimia kuat perlu dielakkan.

‘Sealer’ kalis air juga boleh digunakan mengikut keperluan untuk membantu mengekalkan warna dan mengurangkan penyerapan air.

Bagi terrazzo, permukaannya boleh dilap menggunakan kain mikrofiber dan air sabun lembut, selain perlu dielakkan daripada pencuci berasid atau bahan kimia keras yang boleh merosakkan kemasan.

Terracotta pula perlu diberi perhatian terhadap lumut dan kerak mineral, manakala pasu batu apung sebaiknya dibersihkan menggunakan berus lembut dan tidak dicuci dengan mesin bertekanan tinggi kerana ia boleh menghakis permukaannya.

Pada masa sama, Engku Munir berkata, setiap pasu yang dihasilkan RF Gallery yang terletak di Kampung Padang Tengah, Ketereh, Kelantan, mempunyai nilai tersendiri kerana proses pembuatannya menggabungkan elemen seni, pertukangan dan warisan tempatan.

“Kami percaya pasu bukan sekadar bekas, ia adalah cerminan tradisi dan warisan jiwa. Kami mahu mengangkat nilai kehidupan seharian pelanggan melalui setiap karya yang dihasilkan dengan penuh sabar oleh artisan tempatan kami,” katanya.

Menurut Engku Munir, empat material utama iaitu simen gentian, terrazzo, terracotta dan batu apung dipilih berdasarkan karakter serta kelebihan masing-masing untuk menghasilkan pasu yang ekslusif bukan sahaja berfungsi, tetapi mempunyai nilai estetik.

Baginya, pasu mampu mengangkat ruang daripada sekadar sudut yang kosong kepada elemen dekorasi yang mencetuskan perbualan, sekali gus menghubungkan gaya hidup moden dengan nilai pertukangan tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top