amir_hamid@mediaprima.com.my
TEPUKAN serentak, alunan rebana dan suara lantang berbalas pantun memecah suasana di Kolej MARA Banting apabila sekumpulan penuntut Generasi Z tampil menghidupkan semula seni warisan Dikir Barat yang semakin jarang disertai anak muda.
Walaupun berasal daripada budaya tradisi Kelantan dan Pattani, seni persembahan itu masih berjaya menembusi sempadan negeri apabila penuntut daripada pelbagai latar belakang bergabung demi mempertahankan identiti budaya Melayu.
Kumpulan dikir barat kolej itu dibahagikan kepada tiga pasukan utama iaitu kumpulan instrumen, awok-awok dan Tok Jogho atau Tukang Karut yang masing-masing memainkan peranan penting dalam memastikan persembahan tampil mantap dan bertenaga.
Penasihat Dikir Barat Kolej MARA Banting, Nazliah Wan Shamsuddin, 46, berkata, usaha memperkenalkan Dikir Barat kepada penuntut Gen Z penting bagi memastikan seni warisan itu tidak tenggelam ditelan arus moden.
Menurutnya, Dikir Barat bukan sekadar hiburan, malah medium pembentukan jati diri, disiplin dan perpaduan dalam kalangan penuntut.
“Dikir Barat sebagai salah satu bentuk seni tradisional Malaysia mampu memainkan peranan penting dalam membentuk identiti budaya dan meningkatkan kesedaran terhadap warisan negara khususnya dalam kalangan Gen Z.
“Melalui pembabitan ini, penuntut dapat memahami tradisi dan budaya Melayu serta menghargai seni warisan yang semakin terpinggir akibat pengaruh budaya luar dan teknologi,” katanya.
Seorang lagi penasihat, Sakeena Che Hassandi, 40, berkata, pembabitan penuntut dalam aktiviti kebudayaan turut membantu meningkatkan keyakinan diri serta semangat kerja berpasukan.
Menurutnya, latihan yang konsisten dan komitmen tinggi daripada peserta membuktikan seni tradisional masih relevan dalam dunia moden.
Dikir Barat ialah seni persembahan tradisional popular masyarakat Melayu Kelantan yang menggabungkan nyanyian, pantun, gerakan berirama dan permainan alat muzik seperti rebana.
Persembahan biasanya diketuai Tok Jogho atau Tukang Karut yang berbalas pantun sambil disambut kumpulan awok-awok dengan tepukan dan gerakan seragam.
Seni itu dipercayai berkembang daripada budaya masyarakat Pattani dan Kelantan sebelum tersebar ke seluruh negara, termasuk Singapura.
Ia juga menjadi medium masyarakat dahulu menyampaikan nasihat, sindiran sosial dan isu semasa secara kreatif.
Bagi wakil Tukang Karut, Nik Aisar Makhzan, pada awalnya, dia menyangka Dikir Barat hanyalah hiburan masyarakat Kelantan.
“Lama-kelamaan saya sedar ia lebih daripada itu. Dikir Barat menjadi platform merapatkan ukhuwah dan menyampaikan mesej tentang isu semasa dengan cara unik,” katanya.
Sementara itu, wakil kumpulan instrumen, Muhammad Danish Haikal Mohd Aznazry, pemain muzik memainkan tanggungjawab besar dalam menentukan tempo dan tenaga persembahan.
“Sebagai pemain instrumen, menjadi tanggungjawab kami memastikan tempo dan irama sesuai dengan lagu yang disampaikan Tok Jogho atau Tukang Karut,” katanya.
Bagi wakil awok-awok pula, Hazif Danish Darwis, dia mengakui persepsinya terhadap Dikir Barat turut berubah selepas menyertainya.
“Saya melihat seni ini bersifat universal dan boleh diterima semua rakyat Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




