am@hmetro.com.my
Kuala Kangsar: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tiada keikhlasan diperlihatkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam perundingan pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila sudah mengumumkan mahu mempertahankan semua 21 kerusi yang dimenangi sebelum ini.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini bahawa BN mahu mempertahankan semua 21 kerusi yang dimenangi pada 2021 tidak menunjukkan kejujuran dalam berpolitik atau anjakan perubahan sikap.
“Kalau sebut runding maksudnya rundinglah dahulu, jangan buat keputusan dulu. Ini kalau keputusan sudah ada kemudian ajak orang runding itu seolah-olah menggambarkan kita tak ikhlas dalam berunding.
“Tiada kejujuran politik. Sepatutnya dia tak boleh kenakan sebarang syarat sebelum kata nak berunding. Kalau kita nak berunding tunjukkan dahulu keikhlasan kita dalam berunding,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata demikian sewaktu ditemui pemberita selepas program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) peringkat negeri Perak Tahun 2026 di sini, semalam.
Menyentuh mengenai persiapan bagi PRN Melaka, Muhammad Kamil berkata, AMK Melaka sudah diarahkan untuk menjalankan gerak kerja pilihan raya sepenuhnya manakala selebihnya diserahkan dan bergantung kepada keputusan gabungan Pakatan Harapan (PH) Melaka.
“Perbincangan dengan blok-blok yang lain tidak dalam pengetahuan saya, tetapi kita tidak boleh tolak sebarang kemungkinan.
“Apa pun kita harus mempersiapkan jentera kita terlebih dahulu tanpa berharap kepada kelemahan ataupun kelebihan mana-mana pihak lain,” katanya.
Mengulas mengenai peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar daripada jawatan Timbalan Presiden PKR, Muhammad Kamil berkata, ia bukan masalah atau bebanan besar termasuk untuk menghadapi PRN Melaka.
Katanya, kenyataan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti serta kenyataan daripada Nurul Izzah sendiri sudah memadai sebagai penjelasan isu berkenaan.
Dalam pada itu, AMK katanya, akan tetap turun kepada ahli akar umbi bagi menjelaskan penerangan lebih lanjut.
Menurutnya, sebaliknya bebanan yang lebih besar adalah menjaga kebajikan rakyat yang ketika ini masih dibelenggu masalah kenaikan kos sara hidup, harga barang, kemudahan prasarana, selain menepis impak politik ketakutan yang dimainkan berkaitan Melayu dan Islam.
“Ini yang sepatutnya wajar menjadi perhatian rakyat dalam membuat penilaian pemimpin mana yang kita nak angkat. Malangnya yang berlaku ialah politik menakut-nakutkan orang Melayu dan Islam.
“Bukan untuk nak selamatkan negara tetapi untuk meraih sedikit keuntungan, kemenangan politik. Sepatutnya ruang ini digunakan sebaiknya untuk kita tawarkan apa yang kita ingin kita berikan kepada rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




