am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan sebanyak 742 kes penguatkuasaan dengan 135 individu ditahan bagi membantu siasatan bermula awal tah un hingga 31 Julai lalu.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sepanjang tempoh itu, nilai rampasan barang kawalan direkodkan sebanyak RM552,078.54 manakala nilai keseluruhan mencecah RM4.02 juta.
“Bagi tindakan kompaun pula, sebanyak 443 kes dikompaun dengan jumlah kutipan keseluruhan RM332,100 hasil tindakan pemeriksaan.
“Kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 merekodkan jumlah tertinggi iaitu 318 kes diikuti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (205 kes); Akta Timbang dan Sukat 1972 (191 kes); Akta Perihal Dagangan 2011 (21 kes); Akta Cap Dagangan 2019 (empat kes) dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (tiga kes).
“Kota Bharu mencatatkan prestasi penguatkuasaan tertinggi dengan 368 kes, membabitkan 96 tangkapan serta nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2.35 juta,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) 2026 penggal 2024/2026, semalam.
Hanif Yusabra berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan KPDN dalam membanteras pelbagai bentuk pelanggaran undang-undang berkaitan perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan.
Katanya, pencapaian itu menunjukkan aktiviti penguatkuasaan di Kelantan terus memberi tumpuan kepada kesalahan membabitkan penyelewengan barang kawalan, pencatutan harga serta pematuhan penggunaan alat timbang dan sukat dalam urus niaga.
“KPDN Kelantan akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan secara bersepadu, berfokus dan berterusan di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan undang-undang, melindungi kepentingan pengguna serta membanteras sebarang bentuk penyelewengan yang menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pertukaran dan perkongsian maklumat dengan negara jiran terutama dari selatan Thailand sangat membantu dalam usaha mengekang aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi di sempadan negara.
Katanya, kerjasama strategik dengan pihak berkuasa Thailand sudah lama terjalin namun semakin dipergiatkan bagi mengelakkan ketirisan yang lebih besar berlaku.
“Kunjung hormat turut dilakukan kelmarin terhadap Ketua Jajahan Sungai Golok, Sufyan Hasan bagi memperkukuh kerjasama dalam membanteras penyelewengan barangan bersubsidi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




