syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob dan jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) menegaskan bahawa mereka belum bernikah, sebaliknya menganggap desas-desus serta pertanyaan ramai mengenai status perkahwinan mereka sebagai satu doa yang baik.
Fazley, 48, berkata soalan mengenai status hubungan mereka kerap diajukan oleh pengikut dan peminat setiap kali mereka mengadakan sesi siaran langsung di aplikasi TikTok.
“Apabila kita bersiaran langsung di TikTok Live, memang ramai yang memberikan komen. Saya rasa hampir separuh bertanya ‘dah nikah ke?’. Namun, saya menganggap semua itu sebagai satu doa.
“Apa yang berlaku antara saya dan Datuk Seri Vida adalah satu perjalanan yang sangat indah dan membahagiakan. Kita berdoa supaya ia menjadi sesuatu yang kekal hingga ke akhir hayat.
“Doa-doa daripada peminat itu amat dihargai kerana peminat memiliki Datuk Seri Vida, manakala saya memiliki hati beliau,” katanya kepada Harian Metro.
Kata-kata Fazley itu turut disambut secara berseloroh oleh Vida yang menambah bahawa Fazley bukan sahaja memiliki hatinya, malah ‘roh dan jasadnya’.
Mengulas lanjut mengenai perancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya, Fazley menjelaskan sebarang berita gembira akan dikongsikan apabila tiba masa yang sesuai tanpa perlu tergesa-gesa.
“Perkara-perkara yang baik ini, apabila mahu diceritakan, kita perlu mengambil masa dan membuat pertimbangan yang sesuai.
“Saya rasa banyak juga isu atau perkara yang berlaku dalam negara yang perlu diberi perhatian dahulu, jadi kita beri laluan kepada perkara itu terlebih dahulu.
“Datuk Seri Vida sering berkata, apa-apa pun biarlah YB Syed Saddiq dan Bella Astillah jalan (berkahwin) dulu. Selepas itu selesai, mungkin tiba masa untuk kita berkongsi berita-berita yang membahagiakan, Insya-Allah,” katanya.
Tambah Fazley lagi, sekiranya hubungan mereka sudah mempunyai ikatan yang sah, perkara itu pasti tidak akan dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
“Semestinya (akan diumumkan rasmi). Dalam agama pun ada menyatakan perkara yang baik itu elok kita uar-uarkan.
“Jadi jika belum ada apa-apa kenyataan rasmi daripada kami berdua atau wakil kami, saya menganggap kata-kata yang baik itu sebagai satu doa untuk mencari kebahagiaan yang hakiki,” katanya.
Fazley dan Vida ditemui pada acara MAGLIFESTYLE Spring Summer 2027 @ Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 yang berlangsung di KLCC.
© New Straits Times Press (M) Bhd




