SHAH ALAM – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan kemelut yang berlaku dalam PN perlu dilihat dengan keberanian untuk menerima hakikat, termasuk kesan sesuatu tindakan terhadap hak dan kedudukan parti dalam gabungan berkenaan.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau berkata, pihak terbabit sepatutnya mempunyai “moral courage” untuk menerima hakikat bahawa tindakan mereka menyebabkan ‘hilang’ hak keadilan dalam gabungan.
“Sepatutnya mereka mempunyai “moral courage” untuk menerima hakikat tindakan mereka menyebabkan ‘hilang’ hak keadilan dalam gabungan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Sabtu.
Kenyataan itu dilihat mempunyai kaitan dengan pertikaian mengenai kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu terkeluar secara automatik daripada gabungan berkenaan.
Abdul Hadi sebelum ini berkata, Bersatu dianggap terkeluar daripada PN berikutan tindakan parti itu yang mahu membentuk gabungan bersama parti lain.
Beliau berkata, mengikut perlembagaan, mana-mana pihak yang memutuskan untuk menyertai atau membentuk jalinan lain secara automatik hilang keahlian tanpa memerlukan surat rasmi atau keputusan khusus.
Bagaimanapun, Bersatu menegaskan, Abdul Hadi tidak mempunyai hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan parti itu dalam PN.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan bahawa keahlian Bersatu dalam PN telah gugur secara automatik adalah tidak berasas dan menunjukkan Abdul Hadi tidak memahami Perlembagaan PN.
Beliau menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Marang itu sebagai semberono kerana keputusan berkaitan keanggotaan mana-mana parti dalam PN dan katanya, hanya boleh dibuat oleh Majlis Presiden PN.



