Tiada bangkai ikan lumba-lumba dijumpai di Ban Pecah

Tiada bangkai ikan lumba-lumba dijumpai di Ban Pecah

Ipoh: Pasukan pegawai Jabatan Perikanan Perak tidak menemukan sebarang bangkai ikan lumba-lumba dalam siasatan yang dijalankan di perairan sekitar Ban Pecah, Tanjung Piandang, semalam.

Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali A Manap berkata, keadaan itu berkemungkinan disebabkan bangkai haiwan berkenaan telah dihanyutkan arus atau ombak ke lokasi lain sebelum pemeriksaan dijalankan.

“Pada awalnya, pihak kami melalui Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kuala Kurau mendapat maklumat mengenai perkara tersebut (penemuan bangkai ikan lumba-lumba) menerusi satu video tular di aplikasi TikTok pada 5 Ogos lalu.

“Susulan aduan itu, empat anggota telah menjalankan siasatan di sepanjang pesisir pantai dari Kuala Kurau hingga Tanjung Piandang, namun tiada sebarang penemuan terhadap bangkai mamalia marin berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, video memaparkan penemuan bangkai mamalia marin yang dikongsi menerusi platform Instagram itu mendapat perhatian netizen selain ramai meluahkan kebimbangan terhadap keadaan hidupan marin di perairan tersebut.

Mohd Ghazali berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat penemuan baharu berhubung kejadian tersebut.

Beliau turut meminta orang ramai khususnya masyarakat setempat yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menyalurkan kepada pihak Jabatan Perikanan Perak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top