am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit pergaduhan di sebuah hotel di bandar raya ini, kelmarin hingga video kejadian tular di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 12.55 tengah hari ini.
“Siasatan awal kejadian dipercayai berlaku 4 petang kelmarin, berpunca daripada rasa tidak puas hati dan beberapa individu terbabit berada dalam keadaan mabuk.
“Susulan maklumat diterima, polis menahan ketiga-tiga lelaki antara 35 hingga 56 tahun di hadapan hotel berkenaan jam 3 petang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul Hisham berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai 25 rekod berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek bagaimanapun negatif dadah.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh bersenjata dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan.
“Proses permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok.
“Polis juga masih giat mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




