PADANG BESAR: Suasana malam di Padang Besar bertukar meriah apabila lebih 900 peserta pelbagai kaum termasuk para pelari dari lima buah negara menyertai larian malam Padang Besar di sini semalam.
Larian yang menjadi sebahagian daripada acara bersempena Festival Padang Besar 2026 anjuran
Putra Trail Running Club itu bermula dari pukul 10 malam sehingga 4 pagi.
Ia sekali gus memberi pengalaman cukup berharga kepada para peserta.
Menariknya, para peserta juga disajikan persembahan kebudayaan seperti tarian singa, gendang pajang Siam, gendang silat dan gendang urumi melam masyarakat India.
Persembahan tersebut diadakan di hadapan bulatan Padang Besar di sini.
Larian merangkumi laluan pekan Padang Besar, Chuping Valley, Felda Rimba Emas dan Kampung Kok Mak sejauh 22 kilometer.
Pengarah Festival Padang Besar, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada semua peserta The Northernmost Padang Besar Night Run atas semangat kesukanan dan penyertaan yang begitu membanggakan.
“Semoga acara ini terus menjadi ikon sukan rekreasi di utara tanah air, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.-UTUSAN




