Kuala Lumpur: Aksi cemerlang sepanjang pertengahan musim ini membolehkan pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, terus mewarnai Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 bagi musim 2027 selepas sah kekal bersama MSi Racing Team.
ZK Racing, pihak yang bertanggungjawab membangunkan bakat Hakim Danish, dalam satu kenyataan bersama memaklumkan pelumba berkenaan akan memulakan perjalanan baharu apabila akan bergandingan dengan rakan sepasukan baharu Valentín Perrone dari Argentina.
“Pengekalan Hakim Danish membuktikan komitmen jangka panjang MSi Racing Team dalam membangunkan bakat muda bertaraf dunia, selain keyakinan mereka terhadap kemampuan pelumba berusia 19 tahun itu untuk terus mencabar saingan Moto3,” menurut kenyataan itu.
Hakim Danish dalam kenyataan sama bersyukur dapat meneruskan perjalanan bersama MSi Racing Team dan tidak sabar untuk terus bekerja keras memburu keputusan yang lebih baik pada musim depan.
Sepanjang musim 2026, pelumba dari Terengganu itu mencipta sejarah apabila meraih podium sulungnya di Grand Prix (GP) Itali di Mugello dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, Mei lepas.
Beliau kemudian menghadiahkan kemenangan pertama Malaysia dalam kelas Moto3 selepas penantian sedekad dengan mengungguli GP Republik Czech di Brno, Jun lepas.
Hakim Danish setakat ini menduduki tempat ketujuh carta kejuaraan Moto3 dengan 86 mata di belakang pendahulu dan wakil CFMOTO Valresa Aspar Team dari Sepanyol Maximo Quiles yang mengumpul 231 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




