Paris: Bintang renang Perancis, Leon Marchand mengurangkan penyertaannya pada Kejohanan Eropah yang bermula Isnin selepas masih bergelut dengan kecederaan paha.
Persekutuan Renang Perancis mengesahkan Marchand tidak akan beraksi dalam acara 200 meter (m) dan 400m individu rampaian di Paris.
Perenang berusia 24 tahun itu sebelum ini turut menarik diri daripada acara 200m kuak dada, namun masih disenaraikan dalam 200m kuak kupu-kupu dan 400m gaya bebas yang kurang memberi tekanan kepada otot aduktor.
Dia juga berkemungkinan menyertai satu atau dua acara berganti-ganti bersama skuad Perancis.
“Cedera itu pulih dengan baik dan proses pemulihan hampir lengkap. Bagaimanapun, menyertai 200m dan 400m individu rampaian membawa risiko kecederaan berulang yang tidak boleh dipandang ringan.
“Bagi melindungi baki saingan, keputusan dibuat untuk tidak memasukkannya dalam acara berkenaan,” kata doktor pasukan, Sebastien Le Garrec.
Juara Olimpik empat kali itu mengalami kecederaan otot aduktor ketika saringan 200m kuak dada pada Kejohanan Perancis, Jun lalu sebelum menarik diri daripada baki kejohanan.
Marchand kemudian mengalami masalah semula ketika sesi latihan di Marseille tiga minggu kemudian.
Awal bulan ini, dia mengesahkan akan menyertai Kejohanan Eropah, namun masih berbelah bahagi mengenai penyertaannya dalam 400m individu rampaian.
Akhirnya, dia mengambil keputusan menarik diri daripada kedua-dua acara itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Penarikan diri daripada dua acara utamanya itu menjadi tamparan besar buat Marchand yang menjadikan kejohanan di Paris sebagai sasaran utama musim ini.
Dia sebelum ini turut menyasarkan untuk memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dalam 400m individu rampaian.
“Saya mahu melakukannya dalam masa terdekat dan saya membayangkan untuk memecahkannya di Paris pada Kejohanan Eropah tentu sangat hebat,” katanya sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




