Kesatuan Pondok Kelantan tolak dakwaan Hadi -“Islam tidak kuat dengan fitnah”

Kesatuan Pondok Kelantan tolak dakwaan Hadi -“Islam tidak kuat dengan fitnah”

Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan menolak dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan agenda penjajah bagi menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.

Dakwaan tidak berasas

Menerusi kenyataan dikongsi Pengerusinya, Zulkarnain Harun di media sosial, beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas sekiranya tidak disertakan bukti jelas dan sahih, selain memberi amaran bahawa politik berasaskan ketakutan boleh menyemarakkan prasangka serta perpecahan masyarakat.

“Politik ketakutan mungkin memberikan keuntungan politik jangka pendek, tetapi perpecahan umat dan kerosakan keharmonian negara adalah harga yang terlalu mahal untuk dibayar,” katanya.

Kedudukan Islam jelas melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan

Menurut Zulkarnain, penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan tidak bermakna kedudukan Melayu dan Islam boleh dihapuskan secara automatik kerana sistem pemerintahan negara tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja, Parlimen serta prinsip semak dan imbang.

“Kedudukan Islam jelas melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dilindungi melalui Perkara 153.
“Malah, pindaan terhadap beberapa perkara tertentu yang menyentuh kedudukan tersebut turut tertakluk kepada perlindungan dan tatacara perlembagaan,” katanya.

Beliau turut menyeru pemimpin politik, khususnya yang membawa imej Islam, supaya lebih bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan dan mengutamakan politik berasaskan ilmu, fakta, adab serta keadilan.

“Pengaruh seorang pemimpin datang bersama amanah yang besar. Setiap perkataan boleh menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat atau api yang membakar perpecahan.
“Islam tidak menjadi kuat dengan fitnah. Melayu tidak menjadi kuat dengan ketakutan. Negara tidak menjadi kukuh dengan perpecahan,” katanya.

Sumber: Facebook Baba Zul

Scroll to Top