Nice: Pelumba Belanda, Demi Vollering menjuarai Tour de France Femmes dengan penuh bergaya selepas memenangi peringkat terakhir yang berbukit di Nice, semalam sekali gus melebarkan kelebihan ke atas pencabar terdekatnya, Kasia Niewiadoma yang menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan.
Pelumba berusia 29 tahun itu meraih gelaran keduanya selepas turut muncul juara pada 2023, dengan mengatur kayuhan selama sembilan hari itu secara sempurna menerusi kemenangan solo pada dua peringkat terakhir yang kedua-duanya berakhir di Nice.
“Ini impian untuk menjalani kehidupan seperti ini. Saya tahu tahap kemampuan saya dan walaupun Kasia menang di Mont Ventoux, saya masih yakin,” kata Demi selepas mengangkat basikalnya melepasi garisan penamat.
Demi turut tiga kali menamatkan saingan di tempat kedua dalam lima edisi perlumbaan sejak kejohanan itu diperkenalkan semula pada 2022.
Kejayaan itu turut melakar sejarah buat pasukannya, FDJ-United Suez yang menjadi pasukan Perancis pertama menjuarai perlumbaan berkenaan.
Pengurus pasukan, Stephen Delcourt memberikan pujian tinggi kepada Demi yang dianggapnya membawa definisi baharu terhadap kepimpinan dalam sukan.
“Melalui standard tinggi, kepekaan, keaslian dan caranya membawa orang lain bersamanya, dia mentakrifkan semula maksud seorang pemimpin moden.
“Dia memberi inspirasi kepada rakan sepasukan, peminat dan seluruh generasi. Dia bukan sekadar memenangi perlumbaan, tetapi menunjukkan jalan ke hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, Demi terpaksa berjuang keras untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai juara.
Niewiadoma mengambil jersi kuning ketika pendakian Mont Ventoux pada Jumaat bagi mencetuskan penamat yang mendebarkan.
Demi kemudian kembali mengambil alih pendahuluan keseluruhan pada Sabtu selepas melakukan serangan lewat di sebuah bukit kecil untuk memperoleh kelebihan lapan saat ke atas juara 2024 itu.
Kasia yang berang kemudian mendakwa dia disekat oleh rakan sepasukan Demi pada detik penting, namun tiada tindakan diambil.
Demi berkata pasukannya kekal “jujur dan merendah diri” selepas perlumbaan Ahad sambil mendedahkan rakan sepasukannya, Celia Gery yang didakwa menghalang Kasia menerima ugutan bunuh di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd
