Dua kanak-kanak lemas akhirnya ditemui

am@hmetro.com.m

Pasir Gudang: Dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 11 dan 12 tahun yang dilaporkan hilang sejak petang kelmarin, ditemui lemas di kawasan empangan di Jalan Murai 2, Taman Scientex, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 1 Haizrul Rahmad, berkata, terdahulu, mangsa berusia 12 tahun ditemui pada jam 2.12 pagi oleh pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada kedalaman kira-kira dua meter.

Manakala mangsa kedua berusia 11 tahun pula ditemui pada jam 2.33 pagi pada kedalaman dua meter.

“Pihak bomba sebelum itu menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 10.36 malam tadi sebelum jentera bomba tiba di lokasi kira-kira 13 minit kemudian.

“Bapa mangsa memaklumkan kedua-duanya dikhuatiri lemas di kawasan ampangan selepas basikal dan selipar milik mangsa ditemukan di lokasi,” katanya tadi.

Beliau berkata, susulan maklumat itu, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan ampangan berkenaan.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya ditemukan oleh pasukan PPDA sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi membabitkan 19 anggota dari BBP Pasir Gudang dan BBP Skudai.

Sementara itu, keluarga kedua-dua mangsa hadir ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang pagi ini bagi menuntut kedua-dua jenazah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top