Polis kini menerima 35 laporan daripada mangsa yang mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM1.7 juta susulan kes hutang duit kutu yang membabitkan seorang wanita yang telah ditahan.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata kesemua laporan itu dibuat oleh individu berusia antara 23 hingga 53 tahun.
Menurutnya, siasatan terhadap kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kes itu mendapat perhatian selepas sepasang suami isteri bersama anak mereka dilaporkan hilang daripada kediaman di **Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam, sejak 20 Julai lalu.
Kehilangan mereka kemudian dilaporkan oleh bapa kepada wanita berkenaan yang berusia 62 tahun di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, Isnin lalu, selepas usaha untuk mengesan anak perempuan, menantu dan cucunya itu tidak berhasil.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri berkenaan hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kira-kira jam 1.50 pagi Khamis lalu.
Kedua-duanya kemudian direman selama empat hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan.
Artikel lain: Suami isteri hilangkan diri dipercayai akibat hutang duit kutu, dijangka direman hari ini
Tempoh reman pasangan berusia 39 dan 36 tahun itu bagaimanapun dilanjutkan dua hari lagi bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes hutang duit kutu.
Sumber: Berita Harian (Zuliaty Zulkiffli)
