MITI terus pastikan Malaysia kekal pemain bekalan teknologi global

George Town: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus memperkasakan sektor elektrik dan elektronik (E&E) dalam usaha memastikan Malaysia kekal sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan teknologi global serta peranannya kepada ekonomi negara.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata ini sejajar dengan kedudukan sektor E&E sebagai antara bidang penting yang menyumbang kepada kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global, termasuk semikonduktor berteknologi tinggi, sensor canggih dan telekomunikasi.

“Ini penting memandangkan Malaysia, khususnya Pulau Pinang dan Wilayah Utara adalah antara hab utama industri E&E, semikonduktor, sensor berteknologi tinggi dan telekomunikasi. Lebih penting lagi rantau ini menjadi lokasi kepada ratusan pengeluar teknologi bertaraf dunia.

“Sektor E&E juga, khususnya industri semikonduktor turut memainkan peranan strategik dalam ekonomi negara dengan Malaysia menjadi antara lokasi penting dalam rantaian nilai global termasuk aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor,” katanya.

Sim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pelanggan Akta Perdagangan Strategik (STA) 2010 dan Klinik STA Wilayah Utara di Bayan Lepas dekat sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata MITI turut menumpukan aspek pematuhan kawalan eksport bagi memastikan perkembangan sektor teknologi dan perdagangan antarabangsa negara berjalan secara teratur.

Mengulas perdagangan negara, beliau berkata prestasi kukuh bagi enam bulan pertama 2026 memberi ruang kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan kebajikan pekerja yang merupakan antara penyumbang utama kepada kejayaan syarikat berkenaan.

Justeru, beliau berharap syarikat terbabit dapat berkongsi kejayaan itu menerusi langkah seperti pelaksanaan peningkatan gaji dan pemberian bonus.

Menyentuh Klinik STA Wilayah Utara, Sim berkata program melibatkan 86 peserta itu menjadi platform libat urus tahunan antara MITI dengan pemain industri bagi menyalurkan khidmat nasihat secara terus berkaitan pengelasan barangan, permohonan permit, urusan dengan agensi pelesenan serta audit dalaman.

Kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri juga penting bagi memastikan Malaysia terus menjadi destinasi yang dipercayai bagi pelaburan serta pengeluaran teknologi berimpak tinggi, kata Sim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top