BANGKOK: Kementerian Pertahanan Thailand mengesahkan seorang anggota tentera yang mencetuskan kekecohan dalam penerbangan dari Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang sedang menjalani rawatan berkaitan kesihatan mental.
Rakaman kejadian itu dimuat naik di laman Facebook Social Hunter 2022 minggu lalu sebelum dikongsi semula oleh beberapa agensi berita.
Video berkenaan menunjukkan seorang lelaki Thailand berbaju-T putih bangun dari tempat duduknya dan meminta pesawat itu berhenti.
Kru penerbangan cuba menenangkan lelaki berkenaan dan memintanya kembali ke tempat duduk, namun dia melawan.
Seorang pramugari bersama beberapa penumpang kemudian menahannya dan mengikatnya pada tempat duduk selepas dia terus bertindak agresif.
Kementerian Pertahanan Thailand mengesahkan perkara itu susulan rakaman kejadian berkenaan yang tular di media sosial.
Lelaki itu berulang kali menjerit, ‘Saya perlu keluar dari sini’, selain menggunakan kata-kata kesat ketika ditahan.
Menurut laporan Amarin TV, lelaki berkenaan mula bertindak agresif sejurus pesawat berlepas dan kekecohan berterusan sepanjang penerbangan.
Selepas rakaman kejadian itu tersebar dalam talian, pengguna media sosial Thailand mendakwa lelaki berkenaan merupakan anggota tentera di bawah Kementerian Pertahanan, namun dakwaan itu pada awalnya belum disahkan.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasan Kongsiri, kemudian mengesahkan lelaki terbabit merupakan anggota tentera yang berkhidmat di bawah Pejabat Dasar dan Perancangan Pertahanan.
Surasan berkata, anggota berkenaan mempunyai masalah kesihatan mental yang berpunca daripada isu peribadi dan sudah menerima rawatan.
Menurutnya, keadaan itu muncul secara tidak dijangka ketika penerbangan berlangsung.
Susulan kejadian itu, Kementerian Pertahanan memindahkan lelaki berkenaan ke Hospital Phramongkutklao untuk mendapatkan rawatan lanjut. Identitinya tidak didedahkan kementerian.
Insiden membabitkan anggota tentera dalam penerbangan itu berlaku ketika beberapa kes gangguan berkaitan perjalanan udara dan lapangan terbang dilaporkan di Thailand sejak kebelakangan ini.- AGENSI
