Indonesia bongkar 1.3 tan ketamin bernilai RM476 juta disorok dalam kapal asing, rampasan dadah terbesar

BATAM – Pihak berkuasa Indonesia telah merampas 1.3 tan ketamin bernilai puluhan juta dolar daripada sebuah kapal berbendera asing yang merupakan antara kes rampasan dadah terbesar di negara berkenaan.

Ketua Agensi Narkotik Nasional Indonesia (BNN), Suyudi Ario Seto berkata, mereka menerima maklumat risikan pada Februari lalu bahawa kapal MV King Sun sedang belayar ke arah timur dari Thailand dengan membawa kargo yang mencurigakan. Kapal itu kemudiannya dipantau selama beberapa bulan.

Sebuah kapal perang Tentera Laut Indonesia berjaya memintas kapal tersebut pada ketika ia memasuki perairan negara pada Khamis lalu.

“Pasukan bersama menemui 65 guni yang disembunyikan di dalam kapal. Selepas ujian dijalankan, bahan tersebut dikenal pasti sebagai ketamin,” katanya ketika sidang media pada Ahad.

Muatan seberat kira-kira 1.3 tan itu dianggarkan bernilai 2.07 trilion rupiah (RM476 juta). Pihak berkuasa masih menggeledah kapal tersebut bagi memastikan sama ada jika terdapat bahan narkotik lain.

Agensi berita Antara melaporkan kapal itu berdaftar di bawah bendera Tanzania dan dipintas di perairan sekitar wilayah Kepulauan Riau berhampiran Singapura.

Lapan kru yang berada di atas kapal iaitu tujuh warga Myanmar dan seorang warga Taiwan turut ditahan.

“Kami masih menjalankan siasatan berhubung lokasi asal muatan tersebut, destinasi pelabuhan, siapa pengirimnya dan penerimanya,” ujar Suyudi.

Pada bulan lalu, pihak berkuasa Indonesia merampas 3.37 tan bunga ganja ketika menggagalkan cubaan penyeludupan dari Bangkok dan memberkas 12 suspek. – AFP

 

Scroll to Top