Taklimat Khas BN RCI TH: 'Bagus, tunggu esok' – Pemimpin BN

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Taklimat Khas Barisan Nasional (BN) berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, petang tadi mendapat maklum balas positif daripada rata-rata Ahli Parlimen BN yang hadir.

Taklimat bermula jam 5 petang dan berlangsung hampir dua jam itu diadakan menjelang pembentangan laporan RCI berkenaan di Dewan Rakyat esok.

Antara yang memberikan maklum balas sebaik sahaja sesi taklimat berakhir ialah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

“Bagus,” katanya ringkas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut memaklumkan sesi taklimat berkenaan berjalan lancar.

Taklimat dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaludin Hassan; Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) turut hadir antaranya Setiausaha Agungnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Parlimen Jerlun, Abd Ghani Ahmad dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary.

Dewan Rakyat esok dijadual membahaskan laporan RCI TH antara lain mendedahkan kelemahan tadbir urus dan pengurusan institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Berdasarkan takwim Mesyuarat Khas Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang disiarkan di portal Parlimen, persidangan khas itu akan berlangsung sehari bermula jam 10 pagi dan disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Parlimen Malaysia serta platform media rasmi.

Mesyuarat khas itu dijadual dimulakan dengan sesi penerangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berhubung laporan RCI berkenaan, sebelum diteruskan dengan sesi pertanyaan dan perbahasan Ahli Parlimen.

Sesi perbahasan kemudian dijangka digulung Zulkifli dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Pada 29 Julai lalu, laporan RCI setebal 211 halaman mendedahkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Antara dapatan utama ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira kesan rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan.

Menurut laporan itu, TH sepatutnya mencatat kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) diguna pakai sepenuhnya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini menitahkan supaya siasatan berhubung laporan RCI TH dijalankan sehingga ke ‘lubang cacing’ dan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top