Pereira, Colombia: Colombia mengisytiharkan darurat pada Isnin selepas gempa bumi kuat mengorbankan sekurang-kurangnya 111 nyawa, merosakkan lebih 1,500 bangunan serta menyebabkan jumlah mangsa yang tidak diketahui tertimbus di bawah runtuhan.
Gempa bumi magnitud 7.4 itu menggoncang beberapa bandar di seluruh wilayah pengeluar kopi dan kawasan pantai Pasifik Colombia, sekali gus memaksa penduduk yang ketakutan bertempiaran ke jalan raya.
Seorang doktor gigi, Julian Pena, berada di rumahnya di Quibdo apabila merasakan gegaran yang “sangat kuat” sejurus selepas jam 7.30 pagi (12.30 tengah hari GMT).” Orang ramai berdoa di jalanan. Suasana amat cemas,” katanya kepada AFP.
“Saya berlari ke luar tanpa membawa apa-apa dan mendapati ratusan orang berada di sana. Banyak bangunan retak dan berlubang, manakala ada juga yang roboh sepenuhnya.
Pihak berkuasa melancarkan operasi menyelamat secara besar-besaran di beberapa bandar dan meletakkan hospital dalam keadaan amaran merah.
Penduduk Cali, Andres Felipe Mejia, antara yang tampil menjadi sukarelawan dalam usaha menyelamat itu.
“Mereka berjaya mengeluarkan seorang lelaki dan bayi, tetapi isterinya masih terperangkap di dalam,” katanya berhampiran sebuah bangunan bertingkat yang ranap.
“Kami berusaha mengeluarkan semua mangsa dalam keadaan selamat. Ramai yang datang membawa bekalan, makanan, serta membantu anggota bomba dan orang ramai.
“Pihak berkuasa memberi amaran angka korban boleh meningkat ketika anggota penyelamat terus menggeledah bangunan runtuh di beberapa bandar.
Di Manizales, wartawan AFP menyaksikan banyak bangunan rosak, termasuk menara katedral neo-Gotik terkenal di bandar itu yang ranap.
Pekerja pentadbiran, Jaime Zuluaga, 50, berkata, banyak bangunan di bandar itu mengalami kerosakan.
“Lalu lintas lumpuh dan orang ramai tidak mahu pulang ke rumah kerana bimbangkan gempa susulan.
Presiden Abelardo de la Esperiella, yang baru mengangkat sumpah tiga hari lalu, mengisytiharkan darurat dan berikrar bahawa Colombia akan “bangkit bersama-sama”.
Gegaran turut dirasai di seluruh Colombia, termasuk ibu negara Bogota, apabila orang ramai bertempiaran lari ke jalan raya dengan pakaian tidur.
“Gegaran amat kuat,” kata pencipta kandungan, Valeria Polo, 29, yang berada di ibu negara, lokasi di mana hanya kerosakan minimum direkodkan.
Berpusat pada kedalaman 110 kilometer (km), gegaran itu turut dirasai di negara jiran seperti Ecuador dan Panama.
Pakar di Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi itu berkemungkinan disebabkan oleh pergerakan di sepanjang sesar dalam di plat tektonik Nazca.
Agensi penerbangan awam memaklumkan enam lapangan terbang menggantung operasi, manakala semua perlawanan bola sepak profesional ditangguhkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


