AS, Kanada turut sepakat kecam Infantino

Los Angeles: Persatuan bola sepak Amerika Syarikat (AS) dan Kanada iaitu dua daripada negara tuan rumah Piala Dunia 2026, menyokong kenyataan tiga konfederasi yang mengkritik Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.

US Soccer, Canada Soccer, Kesatuan Bola Sepak Caribbean (CFU) dan Kesatuan Bola Sepak Amerika Tengah (UNCAF) berkata, mereka “berdiri bersama, bersama rakan-rakan kami di seluruh dunia, dalam menyeru perubahan bermakna yang memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban FIFA.”

Perkembangan itu meletakkan AS dan Kanada bertentangan dengan negara tuan rumah ketiga Piala Dunia tahun ini, Mexico yang memberikan sokongan kepada Infantino.

Infantino berdepan tekanan hebat sejak pertama kali mencadangkan sebelum mengetepikan rancangan untuk mendapatkan pelaburan swasta bagi sebuah anak syarikat komersial baharu yang dikenali sebagai FIFA Forward Enterprise (FFE), yang dicadangkannya untuk mengendalikan aspek komersial Piala Dunia.

Sabtu lalu FIFA membalas dengan menyelar usaha bersepadu dan berterusan oleh sesetengah pihak untuk melemahkan badan pentadbir bola sepak dunia itu dan Infantino.

Namun, ketua FIFA itu sekali lagi menerima kecaman pada Isnin apabila surat bersama daripada tiga konfederasi iaitu Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dari Eropah, CONCACAF bagi Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean serta badan bola sepak Asia, AFC menegaskan bola sepak bukan milik mana-mana individu.

“Kepimpinan dalam bola sepak bukan satu bentuk pemilikan. Ia bukan mengenai memegang atau menuntut kuasa untuk dipegang,” kata konfederasi berkenaan dalam surat itu.

Hantaran media sosial US Soccer dan Canada Soccer turut memuatkan pautan kepada surat bersama itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top