Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa lebih memberi perhatian terhadap ketidakhadirannya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat berbanding isu sebenar berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Sepatutnya fokus isu Tabung Haji
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menegaskan perbahasan sepatutnya memberi fokus kepada kepentingan Tabung Haji serta nasib rakyat yang bergantung kepada institusi berkenaan.
“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan umat Islam khususnya orang Melayu sebagai pihak yang terkesan sekiranya berlaku pengkhianatan terhadap amanah Tabung Haji, selain mempersoalkan tindakan yang dilihatnya lebih menjurus kepada drama politik.
“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam.” katanya lagi.

Adakah PN betul ambil berat tentang golongan berpendapatan rendah?
Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan sama ada Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi PAS benar-benar mengambil berat terhadap kepentingan golongan berpendapatan rendah serta mereka yang bekerja keras mengumpul simpanan untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
“Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?”

Sebelum ini, wakil rakyat pembangkang memilih untuk keluar dari Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam sesi penerangan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) selepas usul untuk menangguhkan sidang khas itu ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Keputusan itu dibuat selepas Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan membangkitkan isu ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani rawatan.
